[Selangorkini] Sultan sukacita bantuan negeri ringan beban rakyat ketika pandemik

Shah Alam, 23 Ogos: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan sukacita atas usaha Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai pakej bantuan kepada rakyat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah bantuan itu dapat meringankan beban rakyat ketika berdepan kemelut dan kesusahan akibat penularan pandemik Covid-19.

“Beta berharap bantuan-bantuan seumpama ini sampai ke golongan sasar dan golongan terkesan tepat pada masanya untuk meringankan beban segolongan rakyat beta bagi meneruskan kelangsungan hidup,” titah Baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-14 di Bangunan Annex di sini hari ini.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan pertama tahun lalu, Kerajaan Negeri mengambil berat golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil yang terjejas akibat kelembapan ekonomi.

Sepanjang tahun lalu, negeri ini menyediakan dua pakej bantuan Selangor Prihatin dan program pemulihan ekonomi, malah Belanjawan 2021 mengambil kira faktor ekonomi tidak menentu akibat wabak tersebut.

Pakej bantuan disediakan seperti berikut:

1. Selangor Prihatin Fasa 1 (20 Mac 2020) – RM127.8 juta
2. Selangor Prihatin Fasa 2 (1 April 2020) – RM272.5 juta
3. Pelan Pemulihan Ekonomi (13 Julai 2020) – RM55.85 bilion (nilai ekonomi)
4. Pakej Kita Selangor 1.0 (20 Januari 2021) – RM73.877 juta
5. Pakej Kita Selangor 2.0 (9 Jun 2021) – RM551.56 juta

Dalam titahnya, Sultan Selangor turut menzahirkan sukacita terhadap pelaksanaan Saringan Komuniti secara percuma bagi mengesan jangkitan wabak pada peringkat awal.

Baginda bertitah lebih RM20 juta dibelanjakan negeri yang memanfaatkan seramai 177,823 individu termasuk pemberian 60,000 kit saringan kendiri secara percuma.

“Dalam kalangan pemain industri pula, kerajaan beta melaksanakan sistem Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) bagi membantu syarikat, kilang, pejabat dan tempat kerja untuk mengesan sebarang penularan wabak Covid-19.

“Sistem ini juga dapat mengawal perebakan virus supaya tidak mencipta kluster di luar kawalan,” titah Sultan Selangor lagi.

Sumber: https://selangorkini.my/2021/08/sultan-sukacita-bantuan-negeri-ringan-beban-rakyat-ketika-pandemik/