Rang Undang-Undang Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Pindaan 2020 diluluskan di Dewan Negeri Selangor

Shah Alam, 9 November: Dewan Negeri Selangor yang bersidang hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Pindaan) 2020 dengan meminda beberapa seksyen dan memasukkan beberapa seksyen baharu ke dalam Enakmen sedia ada.

Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 telah diwartakan pada 20 Mei 1999 sebagai undang-undang yang mengawal dan mengatur perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan sumber air dan lembangan sungai di dalam Negeri Selangor.

Walaubagaimanapun, Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 tidak pernah dipinda sejak ia dikuatkuasakan selama lebih dua puluh tahun. Menurut Y.A.B. Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Menteri Besar Selangor keperluan untuk meminda enakmen ini adalah mendesak bagi memastikan kepentingan sumber air dapat dilindungi dari aspek perundangan secara keseluruhan.

Antara pindaan yang dimasukkan dalam Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Pindaan) 2020 termasuklah:

  1. Mewujudkan jawatan Timbalan Pengarah yang pada masa ini tidak wujud di dalam LUAS di bawah subseksyen 11(4)
  2. Memberi kuasa kepada Timbalan Pengarah untuk menjalankan fungsi Pengarah sekiranya Pengarah berada di luar Malaysia atau tidak berupaya menjalankan tugasnya atau sedang bercuti
  3. Menambah bilangan anggota jawatankuasa yang boleh dibayar elaun bagi menggantikan Subseksyen 26(4) dengan subseksyen baharu
  4. Menambahbaik prosedur pengeluaran arahan kepada mana-mana orang atau pihak berkuasa awam agar mengambil Langkah-langkah pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air yang terjejas dengan meminda Subseksyen 41(3)
  5. Menambahkan kuasa LUAS bagi mengenakan caj terhadap lebihan pengambilan air sebagai satu Langkah kawalan ke atas penggunaan sumber air bagi mengelak pembaziran penggunaan sumber air
  6. Pindaan seksyen 79 Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 dengan memasukkan kesalahan pencemaran air yang disebabkan oleh bau dan rasa sebagai salah satu kesalahan di bawah enakmen. Selain itu, Seksyen 79 juga dipinda dengan meluaskan peruntukan anggapan kepada tuan punya atau penghuni premis, pemilik kenderaan atau orang yang bertanggungjawab terhadap kenderaan dari mana kemasukan atau pelepasan itu berpunca. Menaikkan jumlah denda daripada seratus ribu ringgit kepada denda minimum dua ratus ribu ringgit dan maksimum tidak melebihi satu juta ringgit. Hukuman penjara juga akan menjadi hukuman mandatori. Selain itu, hukuman tambahan turut ditambah dengan membayar kepada LUAS semua perbelanjaan yang dilakukan untuk membersihkan atau memulihkan apa-apa pencemaran oleh sebab kesalahan yang dilakukan di bawah Seksyen 79 Enakmen tersebut.
  7. Memasukkan beberapa seksyen baharu ke dalam pindaan iaitu Seksyen 99A, 99B, 99C, 99D, 99E dan 99F.
  8. Memberi kuasa kepada LUAS membayar ganjaran kepada pemberi maklumat berkenaan pengesanan kesalahan di bawah enakmen ini.
  9. Menaikkan nilai kompaun yang lebih tinggi iaitu sebanyak lima puluh peratus dari jumlah denda maksima bagi kesalahan tersebut. Selain itu, keizinan daripada Pendakwa Raya juga diperlukan sebelum mengkompaun apa-apa kesalahan selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
  10. Meluaskan skop perlindungan kepada ahli-ahli Lembaga dan ahli jawatankuasa yang ditubuhkan dari segi tanggungan peribadi sekiranya keputusan oleh LUAS memberikan implikasi kepada mana-mana pihak yang berkenaan.

Rang Undang-Undang Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Pindaan) 2020 dibacakan Kali Yang Ketiga dan telah diluluskan dan dipersetujui sebulat suara oleh Ahli Dewan Negeri Selangor.