Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

83) PROGRAM KITAR SEMULA

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Mohd Zawawi Bin Ahmad Mughni

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa banyakkah pusat kitar semula yang masih beroperasi sehingga kini, serta keberkesanannya. senaraikan mengikut jenis?

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, terdapat sejumlah 253 pusat kitar semula yang masih beroperasi di seluruh Negeri Selangor yang terdiri daripada bangunan berstruktur kekal, kabin dan tong kitar semula. Pusat kitar semula memberi kesan yang baik sebagai kemudahan kepada orang awam untuk menghantar barangan kitar semula kerana lokasi yang lebih hampir dengan tempat tinggal mereka. Pelbagai pihak terlibat dan sentiasa bekerjasama dengan PBT dalam menggerakkan pusat kitar semula ini seperti Institusi Pengajian Tinggi, sekolah rendah dan menengah, pihak swasta, badan bukan Kerajaan dan persatuan penduduk. Antara manfaat Pusat Kitar Semula adalah seperti berikut:

    1. dapat mengurangkan sekurang-kurangnya 5% daripada keseluruhan sampah;
    2. dapat menjimatkan kos pelupusan oleh pihak PBT;
    3. dapat mengelakkan berlaku kejadian sampah longgok dan haram; dan
    4. mendidik masyarakat tentang kepentingan kitar semula.

     

    Selain itu, Kerajaan Negeri akan mewujudkan Pusat Kitar Semula yang komprehensif di semua PBT di Negeri Selangor dan projek perintis kitar semula yang akan melibatkan beberapa buah kampung terpilih. Bagi tujuan ini, sebanyak 24 lokasi di kawasan PBT dan 25 buah kampung tradisi telah dikenalpasti sebagai lokasi Pusat Kitar Semula di seluruh negeri ini dan Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan berjumlah RM950,000.00.

  2. Apakah program kitar semula untuk baja kompas oleh pbt mencapai objektif?

    Ahli Yang Berhormat sekalian, objektif utama kitar semula untuk baja kompos adalah untuk mengurangkan sisa organik yang dibuang ke tapak pelupusan sampah. Pelaksanaan program pengkomposan sisa yang dilaksanakan oleh PBT dengan kerjasama komuniti, sekolah – sekolah dan NGO mendapat sambutan yang amat baik dan positif. Malah terdapat beberapa lokasi mesin kompos yang diuruskan oleh komunit penduduk sendiri.

    Antara jenis pengkompasan yang dilaksanakan oleh PBT adalah pengkomposan sisa makanan, sisa sayuran daripada pasar, sisa kebun dan sisa daun kering. Baja kompos yang dihasilkan digunakan semula untuk tanaman landskap, menjalankan program kebun komuniti dan turut disalurkan ke sekolah-sekolah yang terlibat dalam program kebun komuniti di sekolah. Secara asasnya program pengkomposan sisa memberi kesan yang sangat baik terutamanya di kawasan perumahan. Meskipun tiada mekanisme untuk mengukur tahap keberkesanan aktiviti ini, namun sambutan penduduk terhadap penganjuran program pengkomposan baja dari sisa organik adalah amat menggalakkan.

  3. Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh komuniti untuk menjana program kitar semula?

    Komuniti memainkan peranan yang amat penting dalam menjayakan program kitar semula. Tanpa penyertaan dan komitmen daripada komuniti program kitar semula tidak akan berjaya. Antara peranan komuniti untuk menjana program kitar semula adalah dengan seperti berikut:

    1. melaksanakan pengasingan sampah yang boleh dikitar semula bermula dari rumah dan di bawa ke pusat kitar semula;
    2. mengamalkan konsep 3R (Reduce, Reuse, Recycle);
    3. menjual barangan kitar semula dan mengitar semula minyak masak terpakai boleh memberi pendapatan tambahan kepada individu dan persatuan komuniti;
    4. melaksanakan aktiviti pengkomposan sisa makanan menjadi baja dan aktiviti kebun komuniti;
    5. membantu dalam hebahan program serta menjadi peserta dalam setiap penganjuran program 3R; dan
    6. menghasilkan produk “upcycling” daripada barang kitar semula.

Lampiran

Tiada Lampiran.