Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

144) PROGRAM KITAR SEMULA

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Zawawi Bin Ahmad Mughni

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan yang telah dan akan disusun oleh Kerajaan dalam memastikan program kitar semula mendapat sambutan dari semua golongan?

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan telah menetapkan beberapa perancangan dalam memastikan program kitar semula mendapat sambutan dari semua golongan di Negeri Selangor. Diantara perancangan yang telah dan akan diadakan adalah seperti berikut:

     

    1. Memperbanyakkan kempen membudayakan kitar semula dan pengasingan sisa makanan dari rumah rumah dan restoran;
    2. Memperkasakan Kempen Kitar Semula di setiap lapisan masyarakat termasuk di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi dan komuniti;
    3. Penyediaan pusat kitar semula berdekatan dengan kawasan kediaman, dewan orang ramai dan premis makanan;
    4. Melaksanakan program gotong-royong dan kitar semula di rumah-rumah ibadat; dan
    5. Program larian kitar semula.
  2. Apakah kejayaan yang telah dicapai sepanjang kempen ini berjalan?

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)  telah mencapai pelbagai kejayaan sepanjang perlaksanaan kempen kitar semula di Negeri Selangor, sebagai contoh:

     

    1. MBPJ telah melaksanakan kempen kitar semula styrofoam dan membangunkan PJ Eco Recycling Plaza di SS 8 sebagai one stop centre untuk aktiviti kitar semula di Petaling Jaya bagi menangani masalah pembuangan sisa styrofoam. Bangunan plaza itu mempunyai sudut pameran atau galeri 3R, bengkel upcycling, ruang aktiviti kanak-kanak dan komuniti, studio tayangan video, dan bilik kemudahan seminar. Ini merupakan projek pertama di Malaysia yang mempamerkan sisa hasil daripada pengasingan sampah. Selain itu, MBPJ turut mempunyai tempat pengkomposan tersendiri iaitu Smart PJ Waste Solution Lab yang terletak di Jalan SS 2, sebagai pendekatan pelupusan sampah di punca bagi mengurangkan kos pelupusan sampah di tapak pelupusan. Projek tersebut dapat meningkatkan keberkesanan pengurusan sisa pepejal di samping pengurangan penjanaan karbon dioksida.

     

    1. Selain itu, MBSA melalui program kitar semula, telah berjaya mengurangkan sisa yang dilupuskan ke tapak pelupusan. Dimana pada tahun 2018 sejumlah 168,987 metrik tan sampah telah dilupuskan dan pada tahun 2019 (Jan – Jun) sejumlah 79,561.17 metrik tan sampah telah dilupuskan. Penurunan sisa ini akan menjimatkan kos pelupusan yang ditanggung oleh pihak Majlis iaitu sejumlah RM36.00 bagi setiap satu (1) metrik tan. MBSA juga merupakan PBT pertama di Selangor yang berjaya melaksanakan program pengasingan dari rumah secara voluntarily basis. Melalui program pengasingan sisa dari rumah sejumlah 87,339 kg bahan kitar semula telah berjaya dikutip pada tahun 2018. Manakala, sejumlah 95,788 kg bahan kitar semula telah dikutip dalam tempoh Januari sehingga Jun 2019.

     

    1. Program kitar semula dapat mengurangkan sisa yang dilupuskan ke tapak pelupusan dan seterusnya peningkatan bahan kitar semula yang dikumpulkan di Pusat Kitar Semula selain dapat mengurangkan kos pengurusan sampah. Selain itu, kejayaan bagi program kitar semula yang dilaksanakan juga dapat dilihat melalui sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat dan para pelajar.
  3. Bagaimanakah program kitar semula ini berjaya menjaga kesejahteraan penduduk dan alam sekitar?

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat juga, Program Kitar Semula ini boleh menjadi pemangkin ke arah kesejahteraan penduduk dan alam sekitar melalui penglibatan penduduk secara terus dalam pengurusan sisa di mana penduduk akan di didik untuk lebih bertanggungjawab dalam menguruskan sisa seharian dan mengamalkan 3R iaitu Reduce, Reuse dan Recycle yang mana konsep ini secara tidak langsung dapat mendidik penduduk mengurangkan penghasilan sampah melalui guna semula dan kitar semula.

     

    Program kitar semula juga secara tidak langsung mewujudkan masyarakat yang harmoni dan bekerjasama melalui perkongsian maklumat berkaitan kitar semula oleh PBT, persatuan penduduk dan aktiviti-aktiviti kitar semula terutamanya yang berkonsepkan pertandingan dan larian. Program yang dilaksananakan juga memberikan pendedahan kepada tatacara pengurusan sisa yang betul dan sistematik kepada masyarakat.

    Disamping itu, pengasingan sampah yang betul boleh mengelakkan parit, longkang dan sungai daripada tersumbat. Manakala, program kitar semula minyak masak terpakai pula dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya penggunaan minyak masak terpakai berulang kali yang boleh punca penyakit kanser, jantung dan kolestrol. Program kitar semula ini secara tidak langsung dapat memastikan alam sekitar lebih terpelihara dan penduduk hidup dengan sejahtera serta bebas dari penyakit dan bencana alam.

Lampiran

Tiada Lampiran.