Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

98) Lot Tanah Lidi

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan Kerajaan Negeri terhadap tanah pemilikan individu yang telah dijual kepada pembeli dengan konsep menjual tanah lot lidi?

    Pihak Kerajaan Negeri tidak pernah mengiktiraf penjualan dan pemilikan tanah lot lidi di Negeri Selangor. Ini adalah kerana, penjualan tanah lot lidi jelas melanggar syarat nyata tanah itu sendiri di mana tanah-tanah lot lidi yang dijual adalah bersyarat nyata “Pertanian” yang tidak dipohon tukar syarat atau pecah sempadan di Pejabat Tanah dan Daerah. Penjualan tanah secara lot lidi ini mengundang pelbagai masalah kepada pembeli berikutan ketiadaan geran individu dan urusan jual beli hanyalah berdasarkan “Surat Ikatan Amanah” sahaja. Bagi membendung aktiviti penjualan lot ini secara berleluasa tanpa mengikut syarat-syarat pembangunan dan pendaftaran hakmilik yang dibenarkan di mana akan memberi kesan langsung kepada pembeli, Mesyuarat Penyelarasan Pentadbiran Tanah/Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor (MPPTDPBTNS) Bil. 1/2018 yang dipengerusikan oleh YB. Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada 16 Julai 2018 telah bersetuju untuk menolak semua permohonan Pendaftaran Surat Ikatan Amanah atas semua sebab bagi kesemua lot-lot kecil tanah pertanian di Negeri Selangor. Penolakan ini adalah terpakai di semua Pejabat Tanah Daerah dan Pejabat Tanah dan Galian Selangor sehingga satu dasar berkaitan dirangka dan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN). Walau bagaimanapun, tiada sebarang halangan untuk mendaftarkan Surat Ikatan Amanah ini bagi kategori selain tanah pertanian. Selain itu juga, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor serta Pejabat Daerah dan Tanah turut melaksanakan pelbagai sesi hebahan dan pemakluman kepada orang ramai berkaitan risiko pembelian tanah secara lot lidi yang tidak diiktiraf ini.

  2. Adakah dasar pemilikan tanah boleh ditukar secara lot diperbaharui dengan dasar yang baru bagi memberi peluang kepada generasi baru mempunyai tanah?

    Pelupusan tanah Kerajaan melalui pemberimilikan tanah di bawah Seksyen 76 KTN adalah tertakluk kepada individu atau badan-badan yang layak yang dinyatakan di bawah Seksyen 43 KTN termasuk generasi baru yang berumur 18 tahun dan ke atas. Kerajaan Negeri juga telah mengeluarkan Dasar Baharu Pemberimilikan Tanah Kerajaan Di Negeri Selangor melalui Pekeliling Pengarah Tanah Galian Selangor Bilangan 3/2020. Selain daripada permohonan pemberimilikan boleh dikemukakan secara individu, permohonan pemberimilikan juga boleh dikemukakan secara berkelompok mengikut syarat-syarat yang ditetapkan. Semua permohonan boleh dikemukakan ke Pejabat Daerah dan Tanah yang berkenaan untuk diangkat bagi pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.