Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

21 Mei hingga 22 Mei 2008, 24 Mei dan 26 Mei 2008

218) KEJADIAN BANJIR DI BANGI LAMA

Tahun: 2008

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Lebih sepuluh tahun tidak berlaku banjir yang teruk di Bangi Lama, tetapi 22 Mac 2008 dan beberapa hari seterunya berlaku banjir yang agak teruk. Apakah punca utama berlakunya banjir pada kali ini?

    Punca utama berlakunya banjir kilat di kawasan ini adalah disebabkan limpahan air Sungai Semenyih yang tidak dapat menampung kapasiti air larian akibat daripada hujan lebat semasa dan sebelum hari kejadian. Jumlah taburan hujan pada hari kejadian telah dicatatkan di Stesen Telemetri Scada JPS Kampung Rinching lebih kurang 135mm. Kejadian ini dikategorikan sebagai sangat lebatl luar biasa. Keadaan semasa Sungai Semenyih yang cetek dan sempit juga menyebabkan limpahan air sungai.

    Punca kedua adalah disebabkan larian air Sungai Bangi dan parit-parit kecil tidak dapat mengalir/memasuki Sungai Semenyih kerana keadaan aras Sungai Semenyih yang lebih tinggi dan berlaku ‘backflow’ sehingga menyebabkan banjir di kawasan tersebut.

    Punca ketiga adalah disebabkan terdapat halangan struktur sedia ada yang menghalang larian air Sungai Bangi.

    Nota tambahan : Usaha-usaha menaik tarat Sungai Bangi di kawasan Bangi Lama telah dimulakan melalui projek rundingan terus secara ‘Design and Built’ pada September 2007 dan reka bentuk menaik tarat Sungai Bangi telah disiapkan.

  2. Apakah langkah-Iangkah bagi mengatasinya

    Tindakan segera JPS dengan menjalankan kerja mendalam dan melebarkan sungai. Bagi tindakan jangka panjang, pihak JPS akan menjalankan Projek Tebatan Banjir Sungai Bangi dengan membina kolam tadahan di hulu Sungai Bangi dan membina semula struktur halangan mengikut keperluan kadar alir untuk 100 tahun.

  3. Adakah sebarang pampasan diberikan kepada mangsa banjir?

    Pampasan telah diberikan kepada mangsa banjir yang disalurkan oleh Jawatankuasa Bencana Alam Peringkat Daerah.

Lampiran

Tiada Lampiran.