Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

272) KEBAJIKAN PASUKAN BOMBA SUKARELA

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Selepas PKP, ramai yang berminat menyertai Pasukan Bomba Sukarela selepas mendapati pasukan ini memberi bantuan kepada barisan depan seperti menjalankan operasi sanitasi di tempat-tempat awam. Adakah kerajaan akan menimbangkan kebajikan-kebajikan kepada pasukan-pasukan ini demi menggalakkan orang ramai menyertai pasukan ini?

    Pasukan Bomba Sukarela (PBS) memainkan peranan yang penting dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) secara amnya dan khususnya kepada JBPM Negeri Selangor. Mengikut senarai 1 Jadual ke 9, Perlembagaan Persekutuan pindaan 1976, pencegahan dan pemadaman kebakaran termasuk perkhidmatan bomba dan pasukan bomba adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Justeru itu, balai-balai bomba telah dibina oleh kerajaan dari semasa ke semasa di tempat-tempat yang strategic bagi memenuhi tanggungjawab ini. Namun demikian, usaha ini masih belum dapat menampung keperluan yang menyeluruh khususnya di bandar-bandar kecil dan juga penempatan di luar bandar.

    Salah satu langkah bagi mengisi keperluan perkhidmatan kebombaan kepada masyarakat adalah dengan memperkenal dan menggerakkan penubuhan Pasukan Bomba Sukarela di seluruh negara. Petikan 14.65 Rancangan Malaysia Ketujuh berbunyi “Pasukan Sukarelawan Bomba akan ditubuhkan dalam masyarakat dan mereka akan diberikan latihan dalam pemadaman dan pencegah kebakaran”. Tujuannya adalah untuk melahirkan pasukan sukarelawan terlatih yang boleh mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu Jabatan Bomba melaksanakan tugas pemadaman kebakaran dan penyelamatan.

    Penubuhan Pasukan Bomba Sukarela banyak membantu masyarakat dalam kerja-kerja pemadaman kebakaran, menyelamatkan nyawa dan harta benda. Di antara peranan Pasukan Bomba Sukarela adalah seperti berikut :-

     

    • Mengambil tindakan awal jika berlaku kebakaran atau kecemasan sebelum ketibaan Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

     

    • Memberi khidmat nasihat kepada masyarakat setempat terhadap bahaya-bahaya kebakaran dan langkah-langkah pencegahan kebakaran.

     

    • Mengeratkan koordinasi dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta agensi-agensi lain berkaitan dengan keselamatan kebakaran.

     

    • Menjaga dan menyelenggara pili bomba yang terdapat di kawasan masing-masing.

    Untuk makluman, terdapat 31 Pasukan Bomba Sukarela yang didaftarkan di bawah Jabtan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan yang bergiat aktif di kawasan setempat di seluruh Negeri Selangor. Selain itu, sebanyak 4 Pasukan Bomba Sukarela baru dalam proses pendaftaran.

    Sehubungan dengan itu, Pasukan Bomba Sukarela di Negeri Selangor telah memberi impak yang positif kepada masyarakat pada masa ini melalui bantuan dan sokongan kepada JBPM Negeri Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan dan lain-lain agensi dalam Operasi Sanitasi Awam ketika Negeri Selangor menjadi Zon Merah dalam Pancemik Wabak COVID-19 melanda negara yang boleh ditakrifkan sebagai bencana penyakit.

    Bantuan dan peranan pasukan bomba sukarela pada ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung wabak COVID-19, PBS memberi khidmat bantuan kepada masyarakat dengan menyampaikan bahan asas makanan kepada masyarakat setempat. Pada masa yang sama, membantu ADUN-ADUN dan NGO-NGO untuk membantu masyarakat.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengambil maklum berkaitan kebajikan-kebajikan ahli Pasukan Bomba SUkarela Berdaftar di bawah Jabtan Bomba dan Penyelamat Malaysia secara amnya dan di JBPM Negeri Selangor khususnya. Antara kebajikan untuk ahli bagi pasukan bomba sukarela seperti berikut :-

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah meminda Akta Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2018 dengan memasukkan Pegawai Bomba Sukarela sebagai salah satu fungsi tugas untuk membantu JBPM dalam memadam kebakaran dan khidmat kemanusiaan.

    Bantuan kewangan adalah sangat penting untuk meringankan bebanan PBS menjalankan pengoperasian kebombaan dan penyelamatan untuk membantu Jabatan Bomba dan Penyelamata Malaysia. Bantuan kewangan kepada PBS telah diterima sejak dari tahun 2013 berdasarkan surat kelulusan daripada Kementerian Kewangan no. ruj. KK/BPB (19.00) 202-59 Jld 5 SK (4). Walaubagaimanapun pada tahun 2019, Jabtan Kerajaan Tempatan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM570,000.00 dengan pecahan RM1500.00 bagi setiap PBS di JBPM.

    Pada masa ini Pegawai Bomba Sukarela yang didaftarkan dilindungi dengan Inurans Kelompok yang memberi manfaat semua jenis kematian dan keilatan. Contoh, manfaat kematian yang akan diterima ahli adalah berjumlah RM15000.00 dan Khairat Kematian atau Pengurusan Pengebumian sebanyak RM4000.00. Jumlah keseluruhan manfaat yang diterima adalah RM19000.00 mengikut terma dan syarat.

    Pembekalan Personal Protective Equipment (PPE) dan bantuan peralatan kebombaan kepada setiap Pasukan Bomba Sukarela ini untuk memastikan kesiapsiagaan Pasukan untuk memberi khidmat kebombaan dan penyelamatan kepada masyarakat setempat.

     

    Kesimpulannya Jabatn Bomba dan Penyelamat Malaysia sentiasa menambahbaik sistem pengurusan dan menjaga kebajikan Pasukan Bomba Sukarela dari semasa ke semasa demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Lampiran

Tiada Lampiran.