Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

175) HUTAN SIMPAN DI SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah keluasan hutan simpan kekal di Negeri Selangor mengikut daerah?

    Pada tahun 2019, jumlah keseluruhan keluasan Hutan Simpanan Kekal yang telah diwartakan telah meningkat daripada 250,129 hektar kepada 250,209 hektar. Jumlah keluasan HSK mengikut daerah pentadbiran tanah adalah seperti berikut :

     

    Bil. Daerah Sivil Keluasan (Ha)
    1. Sabak Bernam 50,953.10
    2 Kuala Selangor 24,768.29
    3. Klang 15,918.37
    4. Kuala Langat 7,530.31
    5. Sepang 2,858.67
    6. Petaling 3,788.77
    7. Gombak 30,102.14
    8. Hulu Langat 31,216.86
    9. Hulu Selangor 83,073.05
    JUMLAH KESELURUHAN 250,209.56

     

  2. Apakah usaha dan inisiatif Kerajaan dalam menjaga ekosistem serta reservasi hutan simpan kekal?

    Sesungguhnya Negeri Selangor amat bertuah kerana memiliki ketiga-tiga (3) jenis hutan utama iaitu Hutan Paya Laut (Bakau), Hutan Paya Gambut dan Hutan Darat (yang terdiri daripada Hutan Tanah Pamah, Hutan Bukit, Hutan Tanah Tinggi dan Hutan Pergunungan). Pada tahun 2010, pihak Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan Dasar Moratorium, iaitu pembekuan kawasan pembalakan komersial di dalam Hutan Simpanan Kekal untuk tempoh 25 tahun bermula dari tahun tahun 2010 hingga 2035. Antara tujuan Dasar Moratorium ini dilaksanakan adalah bagi memastikan kawasan-kawasan HSK terpelihara dan terpulihara, kelestarian habitat dan eksositem terjamin, kepelbagaian biologinya terjaga dan boleh diurus dengan sebaik-baiknya dan terlalu banyak kebaikkan yang diperolehi daripada pelaksanaan dasar ini.

     

    Bagi Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, pewartaan Hutan Simpanan Kekal (HSK) mengikut kategori Kelas Fungsi Hutan sepertimana di bawah Seksyen 10, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 juga merupakan salah satu perancangan jangka masa panjang bagi pemuliharaan ekosistem kerana setiap HSK boleh dikelaskan mengikut fungsi hutan yang bersesuaian. Contohnya, seluas 93,002 hektar kawasan telah diwartakan di bawah Kelas Fungsi Hutan Taman Negeri Selangor manakala seluas 44,543 hektar kewasan telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air. Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah mewujudkan Zon Pembangunan Taman Negeri Selangor atau “buffer zone” pada jarak 300 meter dari sempadan HSK. Setiap pembangunan meliputi kawasan ini perlu mendapat ulasan dan maklumbalas teknikal daripada pihak JPNS sebelum diangkat untuk permohonan kelulusan kepada Pihak Berkuasa Negeri/Tempatan.

     

    Bagi kawasan hutan terosot, Jabatan ini senantiasa menjalankan projek/aktiviti penanaman semula kawasan hutan dengan spesies-spesies pokok yang sesuai untuk menggayakan semula (Restorasi) kawasan tersebut secara berterusan. Projek ini adalah meliputi semua jenis hutan yang terdapat di Negeri Selangor. Peruntukan yang digunakan adalah daripada Projek Pembangunan (P10) iaitu dari pihak Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan melalui Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

    Salah satu projek diperingkat nasional yang memerlukan keterlibatan pihak JPNS secara langsung ialah projek “Central Forest Spine” dan projek ini sedang giat dilaksanakan di negeri ini. Tujuan Projek CFS diwujudkan adalah bagi mewujudkan kawasan koridor ekologi untuk haiwan dimana koridor laluan adalah untuk menghubungkan kawasan-kawasan hutan yang telah terpisah di antara satu dengan yang lain dan sekaligus membolehkan haiwan-haiwan bergerak dari satu kawasan hutan ke kawasan hutan yang lain.

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Perhutanan juga telah meluluskan dan dimaklumkan mengenai beberapa dokumen perancangan pengurusan hutan mengikut jenis dan pengelasan hutan bagi pengurusan hutan secara jangka sederhana dan jangka panjang yang menjurus kepada pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem hutan di Negeri Selangor. Buku Rancangan Pengurusan diwujudkan khusus mengikut keperluan sesuatu kawasan hutan tersebut. Dokumen Rancangan Pengurusan ini membolehkan pihak JPNS dan jabatan/agensi yang lain bersama-sama menguruskan sesuatu kawasan hutan tersebut secara bersepadu dan lebih sistematik. Di antara buku rancangan pengurusan yang telah dihasilkan adalah seperti berikut :-

     

    (i)       Rancangan Pengurusan Hutan Negeri Selangor 2011 – 2020;

     

    (ii)      Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangaan Pengurusan Hutan Negeri Selangor 2011-2020

     

    (iii)     Integrated Management For North Selangor Peat Swamp Forest 2014 – 2023 vol. I dan vol. II;

     

    (iv)     Rancangan Kerja Hutan Paya Laut 2009 – 2019;

     

    (v)      Rancangan Pengurusan Hutan Taman Warisan Negeri Selangor 2011 – 2020;

     

    (vi)     Rancangan Pengurusan Hutan Tadahan Air Negeri Selangor         2013 – 2022;

     

    (vii)    Rancangan Pengurusan Hutan Simpan Kota Damansara;

     

    (viii)   Rancangan Pengurusan Hutan Mempunyai Nilai Pemeliharaan Yang Tinggi (HCVF) di Negeri Selangor;

     

    (ix)     Rancangan Tahunan Hutan;

     

    (x)      Penilaian Penglibatan Komuniti Setempat Terhadap Program Pemuliharaan Hutan Paya Gambut Di Selangor;

     

    (xi)      Garis Panduan Jalan Hutan 2010 (Pindaan 2013).

     

    (xii)      Laporan Inventori Hutan Nasional Smenanjung Malaysia Kelima (Hutan Paya Laut)

     

    (xiii)     Pelan Pembangunan Hutan Lipur Sg Tua Selangor.

     

    (xiv)     Laporan Bancian Flora Dikawasan CFS SL3 Selangor.

     

    (xv)      Kajian Komposisi Spesies Dan Nilai Ekonomi Kawasan Hutan Tadahan Air Hutan Simpanan Kekal Negeri Selangor 2011

     

    (xvi)     Prosiding Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Kota Damansara, Selangor Ke Arah Pembentukan Model Hutan Komuniti Jabatan Perhutanan Negeri Selangor

    (xvii)    Rancangan Pengurusan Hutan Tadahan Air Negeri Selangor 2013-2022.

     

    Kesemua dokumen dan maklumat perancangan pengurusan hutan adalah amat penting dan berguna sebagai garis panduan di dalam Pengurusan Hutan Secara Berkekalan khususnya di Negeri Selangor.

  3. Berapa bilangan kes pencerobohan hutan simpan kekal dan keluasan pencerobohan yang terlibat mengikut daerah?

    Daripada tahun 2018 hingga 2019, sebanyak lima belas (15) kes pencerobohan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) berjaya dikesan berlaku di negeri Selangor melibatkan keluasan sejumlah lebih kurang 20 hektar. Sebanyak lapan (8) kes direkodkan berlaku di dalam Daerah Hutan Pantai Klang, empat (4) kes di Daerah Hutan Hulu Selangor dan tiga (3) kes di Daerah Hutan Selangor Tengah.

     

    Daripada lima belas (15) kes tersebut, sebanyak tiga belas (13) kes masih lagi dalam proses siasatan, satu (1) kes telah diselesaikan dengan tindakan kompaun kepada pesalah sejumlah RM10,000 dan satu (1) kes dikategorikan tiada tindakan lanjut (NFA).

    *NFA – No Further Action

     

Lampiran

Tiada Lampiran.