Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

87) PROGRAM ADUN MUDA SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini Program ADUN Muda Selangor yang terakhirnya dijalankan pada tahun 2016?

    Dewan Negeri Selangor merupakan perintis kepada program ADUN Muda yang pelaksanaannya mula menjadi tarikan dan perhatian kepada Dewan-Dewan Undangan Negeri yang lain. Program ADUN Muda yang dilaporkan menerusi Portal Dewan Negeri Selangor (dewan.selangor.gov.my) telah mencerna idea banyak pihak berkaitan keperluan untuk melatih dan memberi kefahaman kepada generasi muda tentang proses perjalanan persidangan dewan negeri, mendiskusikan keperluan dan kepentingan rakyat, menanam peribadi dan ketrampilan anak muda dengan ciri seorang pemimpin dan keupayaan membina pengaruh di kalangan masyarakat.

    Maklumbalas positif yang diterima daripada ADUN-ADUN Muda yang telah menyertai program ini walaupun setelah beberapa tahun selepas dianjurkan menampakkan impak dan keberkesanan program ini. Justeru, Pejabat Speaker dengan kerjasama Pejabat Dewan Negeri Selangor yang telah menganjurkan program ini pada tahun 2016 telah memasukkan perancangan dan pelaksanaan program ADUN Muda ke dalam takwim program Dewan Negeri Selangor pada awal tahun 2020.

  2. Adakah Kerajaan Negeri berhasrat menyambung program ini, dan apakah pembaikan yang akan dilakukan bagi meningkatkan kesedaran sivik antara mahasiswa dan mahasiswi?

    Selepas Pilhanraya Umum tahun 2018, sebanyak 77% Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor memiliki Ijazah. Manakala kelayakan paling rendah adalah peringkat Diploma dan Sijil Tinggi Pelajaran. Asas ini menampakkan, pencapaian akademik di kalangan ADUN amat baik dan memberangsangkan.

    Mengambil kira faktor ini, Dewan Negeri Selangor menyambut baik cadangan untuk menggalakkan mahasiswa dan mahasiswi untuk terlibat dalam program-program ADUN, termasuklah program ADUN Muda yang dianjurkan oleh Dewan Negeri Selangor.

    Dewan Negeri Selangor telah menerima  lawatan mahasiswa / mahasiswi dan permohonan temuramah khususnya dari Institusi Pengajian Tinggi ke Dewan Negeri Selangor. Antara mahasiswa / mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi yang telah menerima penerangan hasil lawatan ke Dewan Negeri Selangor termasuklah Pemegang Biasiswa Hong Leong, Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan lain-lain.

    Dalam penganjuran program ADUN Muda akan datang, proses permohonan akan dibuka secara meluas menggunakan Portal Dewan Negeri Selangor dengan bantuan promosi daripada TV Selangor. Dewan Negeri Selangor akan mempertimbangkan kuota peserta ADUN Muda dari kalangan mahasiswa-mahasiswi yang sedang menuntut di universiti.

    Bagi memberikan impak yang terbaik menerusi program ADUN Muda, mahasiswa dan mahasiswi yang terpilih akan didedahkan secara langsung untuk berinteraksi dan berbengkel dengan Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Negeri Selangor mengenai polisi dan Urus Tadbir Kerajaan bagi melatih pemikiran mahasiswa dan anak muda menjadi lebih matang dan berwibawa.

Lampiran

Tiada Lampiran.