Kenyataan Media Persidangan Speaker-Speaker Parlimen Malaysia Dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia Bagi Tahun 2017

PERSIDANGAN SPEAKER-SPEAKER PARLIMEN MALAYSIA DAN DEWAN UNDANGAN NEGERI SELURUH MALAYSIA BAGI TAHUN 2017

 

13 MEI 2017

Dewan Negeri Selangor menjadi tuan rumah bagi Persidangan Speaker- Speaker Parlimen Malaysia dan Dewan Undangan Negeri 2017 yangi disertai oleh delegasi Speaker dan Timbalan Speaker, masing-masing mewakili Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dari seluruh Malaysia. Persidangan ini bertujuan sebagai wahana perkongsian ilmu dan akan berlangsung dari Jumaat, 12 Mei 2017 sehingga Ahad, 14 Mei 2017 di Hotel Concorde, Shah Alam. 

Persidangan Speaker-Speaker Persekutuan Tanah Melayu yang pertama telah diadakan pada 1962 di Dewan Undangan Negeri Selangor di Kuala Lumpur. Persidangan ini diadakan semula pada tahun 2014 di Melaka, kemudian di Kuala Lumpur bagi tahun 2015 dan seterusnya di Johor bagi tahun 2016. Pada tahun ini, Selangor menjadi tuan rumah bagi persidangan ini yang bertemakan “Transformasi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri”. 

Speaker wanita pertama, Hannah Yeoh, bersama-sama Profesor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi akan membentangkan kertas kerja dengan tema transformasi bertajuk – Towards a World Class Parliament: Proposals and Prospects (Ke Arah Parlimen Bertaraf Dunia: Saranan dan Harapan). Dewan Negeri Selangor sendiri telah menerajui transformasi ini melalui pelbagai usaha pembaharuan untuk memperkukuh peranan pembangkang. Antara lain ialah mewajibkan Ketua Pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC), memperkenal Ucapan Ketua Pembangkang dan memperkasa peranan Jawatankuasa Pilihan sebagai mekanisme semak dan imbang yang lebih berkesan.

Parlimen Malaysia juga akan membentangkan kertas kerja berjudul ‘Transformasi Parlimen ke arah Memartabatkan Wadah Demokrasi’. Tema Transformasi Parlimen ini mengambil kira saranan pembaharuan Dewan yang dinyatakan oleh Parlimen Malaysia seperti : Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), menambah bilangan Jawatankuasa Pilihan/Pilihan Khas Dewan dan memperkenal semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang membolehkan pemisahan kuasa yang jelas antara Parlimen dan Eksekutif. Jika dilaksanakan, saranan pembaharuan ini akan memperkukuh institusi Parlimen dan Dewan Negeri sesuai dengan peranan institusi ini sebagai pendukung demokrasi.

Persidangan kali ini akan dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Adalah diharapkan agar segala saranan yang telah dibentangkan sewaktu Persidangan ini akan dipraktikkan oleh Parlimen Malaysia dan di Dewan Undangan Negeri yang lain.

Moga-moga usaha ini akan memperkasa kedudukan Dewan Negeri di seantero Malaysia sebagai platform sejati yang benar-benar membawa suara dan keperluan rakyat, berkesan dalam melaksanakan proses semak dan imbangnya serta berjaya dalam memastikan kebertanggungjawaban pihak kerajaan.

Hannah Yeoh
Speaker
Dewan Negeri Selangor