Dewan Negeri Selangor Lulus Usul Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Negeri Selangor (JPK-SAS)

Shah Alam, 17 Mac: Dewan Negeri Selangor hari ini sebulat suara bersetuju dengan usul penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Air Negeri Selangor (JPK-SAS).

Usul yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin bin Shari di bawah Peraturan Tetap 71 itu berlangsung selepas selesai Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dicadangkan oleh Yang Berhormat Puan Elizabeth Wong Keat Ping (Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan) dan diluluskan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Negeri Selangor.

Menurut beliau, tujuan penubuhan Jawatankuasa ini adalah untuk memantau selia dan memeriksa segala hal berkaitan dengan atau bawah Kerajaan Negeri Selangor berkenaan pemeliharaan, pemuliharaan dan pengurusan sumber air mentah serta perancangan, pengendalian, penyelenggaraan dan pelaksanaan rawatan air dan pengagihan air dalam segala urusan pentadbiran Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd, semua agensi, badan berkanun, anak syarikat, pihak berkuasa dan pertubuhan. 

Yang Amat Berhormat Dato Menteri Besar Selangor juga menyatakan, jawatankuasa tersebut turut diberi kuasa untuk memantau perkara berkaitan pelaksanaan rancangan dan polisi yang memberikan kesan kepada pengurusan sumber air di dalam Negeri Selangor untuk memastikan bekalan air mentah dan terawat sentiasa mencukupi untuk kegunaan rakyat di Negeri Selangor.

Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze (Ahli Dewan Negeri Kawasan Subang Jaya) dengan 6 orang ahli iaitu:

  1. Y.B. Tuan Leong Tuck Chee (Ahli Dewan Negeri Kawasan Pandamaran)
  2. Y.B. Tuan Mohd Najwan bin Halimi (Ahli Dewan Negeri Kawasan Kota Anggerik
  3. Y.B. Tuan Gunarajah a/l R George (Ahli Dewan Negeri Kawasan Sentosa
  4. Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi bin Mohd Mokhtar (Ahli Dewan Negeri Kawasan Meru
  5. Y.B. Tuan Harumaini bin Haji Omar (Ahli Dewan Negeri Kawasan Batang Kali
  6. Y.B. Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi (Ahli Dewan Negeri Kawasan Sijangkang)

Usul ini telah disokong oleh Yang Berhormat Dato’ Teng Chang Khim (Ahli Dewan Negeri Bandar Baru Klang) dan diluluskan oleh Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor yang bersidang pada 17 Mei 2020.