Penasihat Undang-Undang Negeri hadir beri ulasan Draf Laporan Persidangan Secara Sepenuhnya Dalam Talian atau Separa (Hibrid)

Shah Alam, 30 Sept: Jawatankuasa Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor hari ini bermesyuarat buat kali ketiga pada tahun ini bagi membincangkan draf pindaan peraturan tetap berhubung usul persidangan secara sepenuhnya dalam talian atau separa (hybrid) yang telah diluluskan di Dewan Negeri Selangor semasa Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021 baru-baru ini.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Yang Berhormat Tuan Ng Suee Lim, Speaker Dewan yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor dan turut dihadiri oleh ahli-ahli Jawatankuasa, Yang Berhormat Tuan Gunarajah a/l R George (ADN Sentosa), Yang Berhormat Tuan Ahmad Mustain bin Othman (ADN Sabak), Yang Berhormat Tuan Leong Tuck Chee (ADN Pandamaran), Yang Berhormat Tuan Harumaini bin Haji Omar (ADN Batang Kali) dan Yang Berhormat Datuk Mohd Shamsudin bin Lias (ADN Sungai Burong).

Turut hadir, Yang Berhormat Dato’ Salim bin Soib @ Hamid, Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor dan Puan Zarina binti Mhd. Hisham, Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor.

Yang Berhormat Tuan Ng Suee Lim mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peraturan Tetap

Ulasan oleh Penasihat Undang-Undang Negeri , Yang Berhormat  Dato’ Salim bin Soib @ Hamid

Dalam mesyuarat jawatankuasa yang lepas, Jawatankuasa telah menghasilkan Draf Laporan Persidangan secara sepenuhnya dalam talian atau separa (hybrid) yang merangkumi aspek keperluan Peraturan Tetap Dewan dan aspek keperluan teknikal persidangan tersebut.

Dalam mesyuarat pada hari ini, Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Negeri bersama-sama jawatankuasa meneliti satu persatu aspek pindaan yang terlibat dalam Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor serta prosedur pelaksanaan persidangan secara sepenuhnya dalam talian atau separa (hybrid) bersesuaian dengan peraturan dan perundangan yang berkuatkuasa.

Selepas usul tersebut diluluskan semasa persidangan yang lepas, jawatankuasa, penyelidik, urusetia dan pegawai dari Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri telah beberapa kali berbincang dan membuat semakan secara formal dan tidak formal bagi menghasilkan draf laporan persidangan secara sepenuhnya dalam talian atau separa (hybrid) yang lengkap dan memenuhi keperluan semasa persidangan jika diperlukan.

Pada Mesyuarat Kedua (Bajet) Dewan Negeri Selangor yang akan berlangsung pada 26 November 2021 hingga 09 Disember 2021 akan datang, jawatankuasa akan membentangkan Laporan Cadangan Pindaan Peraturan Tetap untuk diteliti oleh Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor.