Ringkasan Pembaharuan

Dewan Negeri Selangor merupakan sebuah dewan negeri yang progresif. Pelbagai reformasi, sama ada melalui pindaan Peraturan Tetap atau pun inovasi perkhidmatan, telah dilaksanakan untuk memastikan bahawa prinsip demokrasi diterjemah secara holistik dalam amalan Dewan Negeri Selangor.



  • Ketua Pembangkang sebagai Pengerusi PAC secara mandatori untuk memastikan semak imbang dalam pentadbiran DNS. Peraturan Tetap 68 (1) “Hendaklah ada sebuah Jawatankuasa yang akan dinamakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan dilantik pada awal tiap-tiap penggal persidangan dan dipengerusikan oleh Ketua Pembangkang(…)” [Kertas Mesyuarat Bil. 50/2014 Pg 13] [Peraturan Tetap 68(1)]

  • Badan eksekutif wajib membentangkan maklum balas kepada penyata Jawatankuasa Pilihan yang telah diluluskan untuk memastikan penambahbaikan kualiti hidup rakyat terjamin. Ini termaktub Peraturan Tetap 76(7) “Menteri Besar hendaklah melaporkan kepada Dewan maklum balas berkenaan dengan saranan yang dikemukakan oleh mana-mana Jawatankuasa Pilihan atau Jawatankuasa Pilihan Khas dalam Penyata Jawatankuasa Pilihan atau Jawatankuasa Pilihan Khas yang telah dibentangkan dan diterima oleh Dewan dalam mesyuarat seterusnya”. [Kertas Mesyuarat Bil. 50/2014 Pg 23 ] [Peraturan tetap 76(7)]

  • Siaran langsung bagi setiap persidangan dan pendengaran awam juga telah diwajibkan bagi meningkatkan aksesibiliti rakyat terhadap gerak kerja di Dewan Negeri Selangor. Peraturan Tetap 10A “Setiap persidangan Dewan hendaklah disiarkan secara langsung sama ada melalui stesen televisyen atau laman sesawang sepanjang masa persidangan”. Ini telah mewajibkan Kerajaan Negeri menyediakan dana mencukupi untuk tujuan ini. [Kertas Mesyuarat Bil. 50/2014 Pg 6 ] [Peraturan Tetap 10A]

  • Penambahan perkara (Q) iaitu Ucapan Ketua Pembangkang dalam Peraturan Tetap 13(1) dan Peraturan Tetap 14(A). Pindaan ini menjamin hak Ketua Pembangkang untuk berucap dan bertujuan memberi peluang dan ruang kepada Ketua Pembangkang untuk berinteraksi secara langsung dan terus dengan Dato’ Menteri Besar mengenai isu yang ingin dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang. [Kertas Mesyuarat Bil. 33/2016 Pg 5-8] [Peraturan Tetap 13(1) & 14A]

  • Pindaan Peraturan Tetap 73(8) menyatakan bahawa “Setiausaha Dewan atau Penolong Setiausaha Dewan atau wakil yang diberi kuasa oleh Setiausaha Dewan hendaklah menjadi Setiausaha kepada tiap-tiap Jawatankuasa Pilihan”. Berbanding hanya Setiausaha Dewan sahaja yang bertanggungjawab mengelola jawatankuasa sebelum ini, pindaan ini bagi memastikan setiap jawatankuasa dikelola dengan terbaik dan terurus oleh pihak urus setia Dewan. [Kertas Mesyuarat Bil. 50/2014 Pg 22 ] [Peraturan Tetap 73(8)]

  • Penubuhan SELCAT sebagai Jawatankuasa Pilihan Khas yang berfungsi untuk menyemak tadbir urus Kerajaan Negeri berjalan secara kompeten, bertanggungjawab dan telus. Antara kaedah/mekanisme semak dan imbang yang dijalankan oleh SELCAT adalah menerusi Pendengaran Terbuka (awam) dengan memberi kebenaran (akses) kepada media untuk membuat liputan langsung (live) kepada semua rakyat semasa proses pendengaran dibuat mengenai sesuatu isu tadbir urus Kerajaan.

  • Perintah Speaker diperkenalkan bagi menjelaskan garis panduan sesuatu perkara yang berada dalam kuasa Speaker samada yang wujud kesamaran atau tidak diterangkan secara jelas di dalam Peraturan Mesyuarat.

  • Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 dibawa ke Dewan Negeri Selangor menerusi Jawatankuasa Pilihan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010, yang seterusnya diluluskan. Enakmen ini digubal bagi mempertingkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan awam, untuk memberi kepada setiap individu hak akses yang munasabah kepada maklumat yang dibuat oleh setiap jabatan Kerajaan Negeri dan untuk mempromosi ketelusan dan amanah bagi setiap jabatan Kerajaan Negeri.

  • Penambahan masa Pertanyaan Dewan (bagi Pertanyaan Mulut) sehingga satu setengah (1 ½) jam bagi memberi lebih ruang kepada Ahli Dewan Negeri bertanya berkenaan dengan hal dalam urusan jawatan rasmi Menteri Besar dan Rang Undang-Undang Awam, usul atau lain-lain perkara orang ramai yang berkaitan dengan urusan Dewan. YB Speaker boleh memerintahkan 30 minit (½ jam) lagi tambahan kepada tempoh masa satu setengah (1 ½) jam tersebut.

  • Imbuhan kepada Ketua Pembangkang seperti elaun khas, kereta rasmi dan tuntutan petrol, pejabat dengan setiausaha telah disediakan. Ini menunjukkan pengiktirafan kita terhadap peranan pembangkang dalam amalan demokrasi Dewan Negeri.

  • 3 Usul oleh Ahli Dewan Negeri UMNO diterima untuk dibahaskan dan diluluskan. Ini menunjukkan kematangan Ahli DNS yang mendahulukan kemaslahatan rakyat Negeri Selangor.

  • Bagi meningkatkan kualiti perbahasan dan polisi Negeri, Penyelidik Tetap disediakan Pejabat Speaker untuk membantu Ahli Dewan Negeri dalam kajian polisi.

  • Pelbagai wacana yang melibatkan isu reformasi politik yang menjemput pakar telah dan akan diadakan untuk memberi pendidikan kepada Ahli Dewan Negeri Selangor. Antara yang pernah diadakan ialah Forum Deklarasi Aset dan Forum Kebebasan Maklumat (FOI).

  • Website Rasmi dengan url: dewan.selangor.gov.my diwujudkan sebagai platform rasmi Dewan Negeri Selangor yang mengandungi pelbagai informasi seperti maklumat Ahli Dewan Negeri, video persidangan dewan, hansard, penyata Jawatankuasa Pilihan dan enakmen negeri Selangor seawal tahun 1937.

  • Bilik khas untuk Ahli Dewan Negeri wanita sahaja telah diperkenalkan yang boleh digunakan untuk berehat dengan selesa, menyusukan anak dan keperluan lain.

  • Lif di Dewan Negeri juga telah dinaiktaraf menjadi lif mesra OKU.

  • Sarana Bahasa Isyarat dalam siaran langsung persidangan Dewan Negeri Selangor. Hal ini untuk memastikan golongan yang berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat turut mendapat akses kepada perbahasan undang-undang dan polisi negeri Selangor.

  • Pengenalan Program ADUN Muda Selangor sejak 2013 sehingga kini. Sehingga 2021, 467 perserta telah terlibat dalam program ini. Program ini bagi meningkatkan kesedaran politik matang terhadap generasi muda. Pada tahun 2020, Program ADUN Muda Selangor Virtual 2020 telah dijalankan secara Virtual sebagai satu langkah baharu bagi meningkatkan keupayaan Dewan Negeri Selangor menganjurkan sebarang program secara maya pada masa hadapan.

  • Dewan Negeri mesra rakyat. Sehingga 2016, Dewan Negeri Selangor telah menerima 3170 pelawat termasuklah pelawat dari delegasi antarabangsa termasuklah dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, China, Taiwan, Ghana, Kenya, Cambodia, Sudan, Indonesia, Ghana, Korea, Singapura dan Nigeria. Dewan Undangan Negeri Terengganu, Kelantan, Perak dan Negeri Sembilan juga datang memberi kunjungan hormat selain berminat untuk mempelajari sistem Dewan Negeri Selangor. Tidak dilupakan, banyak lawatan oleh rakyat tempatan dan pelajar sekolah.

  • Hansard Dewan Negeri Selangor. Draf hansard diterbitkan dalam tempoh 24 jam / 1 hari dari hari peristiwa persidangan, berbanding 7 – 14 hari sebelum tahun 2020.

  • Sistem Carian Jawapan Digital [E-QUANS]bagi Pertanyaan-Pertanyaan Dewan (Mulut & Bertulis). Bermula tahun 2021, Dewan Negeri Selangor mula menggunakan Sistem Carian Soalan dan Jawapan bagi Pertanyaan Mulut & Bertulis Secara Elektronik yang dikenali sebagai Electronic Question & Answer [E-QUANS] bagi menggantikan kaedah carian menggunakan dokumentasi PDF yang dilaksanakan sebelum ini (sehingga tahun 2020). Sistem carian digital ini boleh diakses secara terbuka oleh setiap pengguna untuk memahami polisi, dasar dan strategi pentadbiran yang berjalan di Negeri Selangor.

Last edited by Dewan on Februari 01, 2023 at 10:07 am