Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia Negeri Selangor Sampaikan Taklimat bersama JPK-Pengurusan Sumber Air Selangor

Shah Alam, 15 Sept: Jawatankuasa Pilihan Khas Sumber Air Selangor (JPK-SAS) hari ini telah mengadakan mesyuarat dan sesi taklimat bersama Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia Negeri Selangor berkaitan Sasaran Penting Negeri Selangor (Sektor Air).

Taklimat tersebut disampaikan oleh Tuan Muhammad Helmi bin Abu Hassan (Timbalan Pengarah Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia Negeri Selangor).

Jawatankuasa Pilihan Khas Sumber Air Selangor (JPK-SAS) mengadakan sesi taklimat ini bagi tujuan memperhalusi proses pewartaan Sasaran Penting, Kawasan Larangan dan Tempat Larangan bagi sumber air di Negeri Selangor seperti Loji Rawatan Air, Empangan, Kolam Air dan sungai yang menjadi nadi sumber bekalan air kepada rakyat Selangor.

Berdasarkan taklimat yang disampaikan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia Negeri Selangor, undang-undang yang berkuatkuasa bagi menjaga kawasan-kawasan sumber air ini mengikut kategori Sasaran Penting, Kawasan Larangan dan Tempat Larangan adalah Akta 298 (Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959) serta Arahan Tetap Sasaran Penting yang diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 13 Oktober 1993.

Jawatankuasa Pilihan Khas Sumber Air Selangor dimaklumkan, arahan tetap tersebut membantu Jawatankuasa Pusat Sasaran Penting, Jawatankuasa Sasaran Penting Negeri, penghuni dan mana-mana pihak yang menguruskan sasaran penting ini (termasuk sumber air) bagi menangani sebarang ancaman keselamatan termasuk sabotaj yang boleh menjejaskan ekonomi, pertahanan dan fungsi-fungsi Kerajaan dan imej negara.

Pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020 yang lepas, Dewan Negeri Selangor telah meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Pindaan) 2020 dengan meminda beberapa seksyen dan memasukkan beberapa seksyen baharu ke dalam Enakmen sedia ada.

Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 telah diwartakan pada 20 Mei 1999 sebagai undang-undang yang mengawal dan mengatur perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan sumber air dan lembangan sungai di dalam Negeri Selangor.

Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Sumber Air Selangor (JPK-SAS) yang diadakan hari ini dipengerusikan oleh Yang Berhormat Puan Michelle Ng Mei Sze (ADN Subang Jaya) dan turut dihadiri oleh Yang Berhormat Tuan Leong Tuck Chee (ADN Pandamaran) dan Yang Berhormat Dato’ Ahmad Yunus bin Hairi (ADN Sijangkang), Setiausaha Dewan, Puan Gayathri Prasena A/P Jaya Kumar, Pegawai Dewan Negeri dan Pegawai Penyelidik Pejabat Speaker Dewan.