[Kosmo] Mangsa banjir boleh mohon bantuan bersih rumah secara dalam talian

KUALA LUMPUR, 10 JULAI 2021 – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berucap pada sidang akhbar Program Outreach Vaksinasi PKPD Pangsapuri Asrama Seri Ayu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) semasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 di negeri Selangor di sini hari ini. GAMBAR – AMIR KHALID / PEMBERITA – HUDA ( KOSMO )

Petaling Jaya – Mangsa banjir di sekitar negeri Selangor yang memerlukan bantuan sukarelawan untuk membersihkan rumah boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui laman web www.teguhbersama.com.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, platform yang disediakan itu juga membolehkan orang ramai yang ingin menyumbang derma untuk meringankan beban mangsa banjir.

“Mangsa banjir boleh memohon bantuan menguruskan rumah atau mengutip sisa sampah kesan banjir, hasil inisiatif Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.

“Terima kasih kepada semua termasuk syarikat swasta dan kumpulan sukarelawan yang datang dari seluruh negara untuk membantu mangsa banjir di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, kerajaan negeri mengumumkan Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit untuk pemulihan kawasan terjejas banjir.

Setakat semalam, Selangor menerima sejumlah RM2.23 juta sumbangan individu, syarikat serta kerajaan Kedah dan Kelantan bagi membantu usaha tersebut.

Jelasnya, mana-mana individu atau syarikat yang ingin menyumbang boleh membuat bayaran dalam talian menerusi akaun Bank CIMB 8604-747-531 (Bendahari Negeri Selangor, Rujukan: Tabung Ikhtiar). – K! ONLINE

Sumber: https://www.kosmo.com.my/2021/12/28/mangsa-banjir-boleh-mohon-bantuan-bersih-rumah-secara-dalam-talian/