Kenyataan Media SELCAT bertarikh 19 Oktober 2016

Kenyataan Media SELCAT mengenai Aduan Status Tanah Lot 68054 Mukim Tanjung Dua Belas, Daerah Kuala Langat, Selangor

 

19 OKTOBER 2016

Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban, dan Ketelusan (SELCAT) Negeri Selangor telah menyiasat isu status tanah di Lot 68054, Mukim Tanjung Dua Belas, Daerah Kuala Langat Selangor yang telah dilaporkan dalam media.

Pada 11 Oktober 2016, SELCAT telah mendapatkan penerangan dan taklimat berhubung isu ini daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (“PTG Selangor”), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor, Pejabat Daerah / Tanah Kuala Langat dan Majlis Daerah Kuala Langat (“MDKL”).

Melalui taklimat ini, Lot 68054 disahkan tidak termasuk dalam kawasan pewartaan Paya Indah Wetland seperti yang didakwa. Kawasan yang diwartakan sebagai Paya Indah Wetland hanyalah Lot 3974 (389.91 hektar) dan Lot 4827 (60.85 hektar). Lot 68054 asalnya merupakan tanah milik Kerajaan Negeri. Namun, pada tahun 1994, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Barisan Nasional ketika itu pula telah pun memindah milik tanah tersebut kepada tanah milik persendirian.

Pada tahun 1996, Kerajaan Negeri turut memberi kelulusan meminda syarat nyata dan jenis kegunaan tanah kepada bangunan perumahan/perusahaan ringan dan pada tahun 2004, kelulusan bersyarat telah diberikan (conditional approval) untuk menukar status tanah lot berkenaan daripada pertanian kepada pembangunan bercampur. Walaubagaimanapun, penukaran status tersebut tidak berlaku kerana pemilik tidak menjelaskan bayaran premium.

Pada tahun 2014, Salak Land Development Sdn Bhd telah membuat permohonan sekali lagi bagi menukar syarat tanah daripada pertanian kepada bangunan kediaman tetapi telah ditolak kerana tidak selaras dengan Rancangan Tempatan 2020. Yang Dipertua MDKL telah diminta untuk mengkaji semula Penggubahan Guna Tanah Rancangan Tempatan tersebut.

Pemilik tanah telah membuat permohonan untuk mengubah (rezoning) Rancangan Tempatan Kuala Langat (RTKL) 2020 bagi Lot 68054 dan pihak MDKL serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor telah mengesahkan bahawa pengubahan ini telah dilakukan mengikut proses yang diperuntukkan.

Seterusnya, pada awal tahun 2015, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) telah meluluskan permohonan mengubah jenis kegunaan tanah Lot 68054 kepada bangunan kediaman seperti syor PTG Selangor dan turut mensyaratkan bahawa pemilik tanah perlu memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Sensitif Alam Sekitar.

SELCAT juga dimaklumkan bahawa penjelasan awam mengenai isu ini telah dibuat sebelum ini oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar YB Elizabeth Wong. Aduan rasmi kepada SPRM telah pun dibuat oleh pihak lain berhubung isu status Lot 68054.

Kesimpulannya, Lot 68054 tidak termasuk dalam kawasan Paya Indah Wetland yang telah diwartakan oleh Kerajaan Negeri dan proses penukaran status tanah daripada pertanian kepada bangunan kediaman telah dilakukan mengikut proses yang diperuntukkan.

Berdasarkan fakta yang telah disebutkan ini, SELCAT mendapati bahawa tiadanya keperluan untuk SELCAT mengadakan pendengaran terbuka mengenai isu ini. Keputusan ini dicapai sebulat suara oleh ahli jawatankuasa SELCAT seperti berikut:
1. Y.B. Puan Hannah Yeoh (Pengerusi SELCAT- DAP)
2. Y.B. Tuan Mohd Shafie bin Ngah (PAS)
3. Y.B. Haji Saari bin Sungib (AMANAH)
4. Y.B. Puan Haniza binti Mohamed Talha (PKR)
5. Y.B. Datuk Sulaiman bin Abdul Razak P.M.W, S.M.S, K.M.N.,P.P.N. (UMNO)
6. Y.B. Ng Suee Lim (DAP)
7. Y.B. Tuan Dr Xavier Jayakumar a/l Arulanandam (PKR)

Hannah Yeoh
Pengerusi SELCAT
Dewan Negeri Selangor