Kenyataan Media Speaker Dewan Negeri Selangor bertarikh 9 Oktober 2017

KENYATAAN MEDIA SPEAKER DEWAN NEGERI SELANGOR BERTARIKH 9 OKTOBER 2017

 

9 OKTOBER 2017

Ahli Dewan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan hari ini telah menarik balik saman pemula (BA-24-261-03/2017) di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Speaker Dewan Negeri Selangor, Dewan Negeri Selangor dan Setiausaha Dewan (merangkap Setiausaha Jawatankuasa Hak & Kebebasan) bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa ucapannya dalam perbahasan Bajet Selangor 2017 mendapat perlindungan peruntukan undang-undang. 

Susulan daripada ucapan beliau pada 1 November 2016, ADUN Sungai Pinang, Dato’ Teng Chang Khim telah membawa usul merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak & Kebebasan yang dipengerusikan oleh Speaker Dewan Negeri Selangor. Usul tersebut telah diluluskan oleh Dewan. 

Jawatankuasa Hak & Kebebasan kemudiannya telah membentangkan satu penyata dalam Dewan Negeri untuk memberikan pencelaan terhadap ADUN Batang Kali. Pencelaan tersebut telah dilaksanakan pada 3 April 2017.

Penarikan balik saman pemula ADUN Batang Kali jelas menunjukkan bahawa Speaker dan Dewan Negeri Selangor tidak boleh tertakluk kepada apa-apa prosiding sivil atau jenayah di mahkamah undang-undang dan kesahihan mana-mana prosiding di Dewan Negeri atau mana-mana Jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan dalam Mahkamah. Keputusan Speaker berkenaan tafsiran mana-mana Peraturan Tetap adalah muktamad dan Speaker mempunyai kuasa luas dalam segala urusan berkenaan dengan urusan Dewan Negeri Selangor dan Jawatankuasa Pilihan Dewan.

ADUN Batang Kali telah bersetuju untuk membayar kos RM3000. Speaker Dewan Negeri Selangor, Dewan Negeri Selangor dan Setiausaha Dewan diwakili oleh peguam mereka Gobind Singh Deo (Tetuan Gobind Singh Deo & Co) dan Sangeet Kaur Deo (Tetuan Karpal Singh & Co).

Hannah Yeoh
Speaker
Dewan Negeri Selangor