Kenyataan Akhbar Speaker Dewan Negeri Selangor

Kenyataan Akhbar Speaker Dewan Negeri Selangor

 

17 JANUARI 2017

Merujuk kepada kenyataan media Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (“SPR”) Bil. 3/2017 bertarikh 17 Januari 2017, saya selaku Speaker Dewan Negeri Selangor telah menghantar surat rasmi kepada SPR pada hari ini untuk memaklumkan mengenai kekosongan luar jangka kerusi N01 Sungai Air Tawar berikutan kematian Allahyarham Yang Berhormat Tuan Kamarol Zaki bin Abdul Malik.
 
Berdasarkan kepada Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Bab 5 Perkara LXX (5) sesuatu kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam masa enam puluh hari dari tarikh kekosongan itu berlaku:
 
Dengan syarat bahawa jika sesuatu kekosongan luar jangka dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh Dewan Negeri itu akan terbubar mengikut Fasal (3), maka kekosongan luar jangka itu tidak boleh diisi melainkan jika Speaker memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya secara bertulis bahawa kekuatan bilangan parti yang membentuk majoriti semua Ahli Dewan Negeri adalah terjejas oleh kekosongan itu, dan dalam keadaan sedemikian kekosongan ini hendaklah diisi dalam masa enam puluh hari dari tarikh pemberitahuan itu diterima.
 
Saya telah memaklumkan kepada SPR bahawa kekuatan bilangan parti yang membentuk majoriti semua Ahli Dewan Negeri adalah tidak terjejas oleh kekosongan kerusi N01.
 
Sekali lagi, saya selaku Speaker Dewan Negeri Selangor dan seluruh Dewan Negeri Selangor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan Dewan Negeri Selangor telah kehilangan seorang Ahli Dewan Negeri yang komited dengan amanah yang telah diberikan kepada beliau oleh rakyat.

Hannah Yeoh
Speaker
Dewan Negeri Selangor