JPK-SAS Tinjau Kerja Penambahbaikan dan Penyenggaraan Aset Kritikal Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) di Bestari Jaya

Bestari Jaya, 13 Oktober: Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Selangor (JPK-SAS) hari ini turun ke lapangan untuk meninjau sendiri kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal secara berjadual di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1), Bestari Jaya. Mengikut hebahan awal pihak Air Selangor, kerja-kerja ini bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di kawasan Lembah Klang.

Sesi tinjauan yang bermula jam 4.30 petang hari ini telah diiringi oleh Ketua Operasi Pengurusan Air Selangor, Tuan Ir. Abas bin Abdullah dan pegawai-pegawai Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd.

Antara Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Air Selangor yang hadir semasa sesi tinjauan tersebut ialah pengerusinya, Yang Berhormat Puan Michelle Ng Mei Sze (ADN Subang Jaya), Yang Berhormat Tuan Leong Tuck Chee (ADN Pandamaran) dan Yang Berhormat Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar (ADN Meru).

Sebelum ini, pihak Air Selangor menerusi hantaran di laman sosial memaklumkan sebanyak 998 kawasan di Wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor bakal mengalami gangguan bekalan air bermula 9.00 pagi, 13 Oktober 2021 (rabu) dan dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 9.00 malam, 16 Oktober 2021 (sabtu) berikutan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan berjadual yang dijalankan oleh pihak Air Selangor.

Air Selangor turut memaklumkan, pelaksanaan kerja-kerja tersebut tertangguh daripada jadual asal iaitu pada tahun 2019 dan 2020 berikutan insiden pencemaran air yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar. Pelaksanaan kerja-kerja tersebut telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menaiktaraf sistem bekalan air demi keselesaan para pengguna pada masa hadapan.

Perbincangan Ahli Jawatankuasa bersama pihak Air Selangor

Tinjauan Lokasi Penyelenggaraan dan Aset Air Selangor

Taklimat oleh pihak Air Selangor kepada Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Air Selangor

Semasa sesi tinjauan tersebut, pihak Air Selangor turut menyampaikan taklimat dan suatu sesi perbincangan ringkas bersama ahli Jawatankuasa berhubung kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan yang dijalankan tersebut turut diadakan.

JPK SAS merupakan jawatankuasa yang berperanan untuk memantau selia dan memeriksa segala hal berkaitan dengan atau bawah Kerajaan Negeri Selangor berkenaan pemeliharaan, pemuliharaan dan pengurusan sumber air mentah serta perancangan, pengendalian, penyelenggaraan dan pelaksanaan rawatan air dan pengagihan air dalam segala urusan pentadbiran Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd, semua agensi, badan berkanun, anak syarikat, pihak berkuasa dan pertubuhan.