Jawatankuasa Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor mula bermesyuarat hari ini

Shah Alam, 10 September: Jawatankuasa Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor mula bermesyuarat hari ini bagi membincangkan usul persidangan secara hybrid atau sepenuhnya atas talian. Mesyuarat yang berlangsung lebih kurang 2 jam tersebut membincangkan terma-terma persidangan hybrid atau secara sepenuhnya atas talian serta keperluan teknikal persidangan.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Yang Berhormat Tuan Ng Suee Lim, Speaker Dewan yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor dan turut dihadiri oleh ahli-ahli Jawatankuasa, Yang Berhormat Tuan Gunarajah a/l R George (ADN Sentosa), Yang Berhormat Tuan Ahmad Mustain bin Othman (ADN Sabak), Yang Berhormat Tuan Leong Tuck Chee (ADN Pandamaran) dan Yang Berhormat Tuan Harumaini bin Haji Omar (ADN Batang Kali).

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha Dewan Negeri, Puan Gayathri Prasena a/p Jaya Kumar, Pegawai-Pegawai Dewan Negeri dan Pegawai Penyelidik dari Pejabat Speaker Dewan.

Mengikut Peraturan Tetap 69(4), usul ini dibawa ke Dewan Negeri Selangor untuk dicadangkan dan disokong, seterusnya dikemukakan kepada Jawatankuasa Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor untuk dikaji, diperhalusi dan dipertimbangkan bagi tujuan penyediaan Penyata Pindaan Peraturan Tetap yang akan dibentangkan dan dibahaskan pada persidangan akan datang.

Satu draf cadangan Pindaan Peraturan Tetap yang memasukkan segala aspek keperluan persidangan secara hybrid atau secara atas talian sepenuhnya dijangka akan dibentangkan pada persidangan akan datang.

Draf cadangan pindaan Peraturan Tetap bagi keperluan persidangan secara hybrid atau secara atas talian akan turut mendapat nasihat dan panduan daripada pihak Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri (PUU) bagi memastikan segala lunas perundangan berkaitan persidangan Dewan Negeri adalah dipatuhi.

Mesyuarat seterusnya akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak bagi melengkapkan proses pertimbangan dan perhalusan sebagaimana yang dikehendaki menurut Peraturan Tetap 96(4) Dewan Negeri Selangor.