Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC) Negeri Selangor Mula Teliti Laporan Ketua Audit Negara 2019

Shah Alam, 20 Sept: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (Public Account Committee-PAC) Negeri Selangor hari ini telah mengadakan mesyuarat bagi meneliti Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang telah dibentangkan semasa Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Keempat Yang Keempat Belas Tahun 2021 yang berakhir pada 30 Ogos lalu.

Semasa Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Keempat Tahun 2021 yang lalu, Dewan Negeri Selangor telah membentangkan tiga (3) laporan Ketua Audit Negara iaitu:

  • Laporan Ketua Audit Negara Pengurusan Aktiviti Jabatan Dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2018 Siri 3
  • Laporan Ketua Audit Negara Aktiviti Jabatan & Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2019 Siri 1 
  • Laporan Ketua Audit Negara Penyata Kewangan Kerajaan / Agensi Negeri Selangor Tahun 2019

Jawatankuasa Kira-Kira Wang (Public Account Committee-PAC) Negeri Selangor adalah dipengerusikan oleh Yang Berhormat Datuk Rizam bin Ismail (ADN Sungai Air Tawar) yang juga merupakan Ketua Pembangkang bagi Dewan Negeri Selangor.

Turut hadir adalah ahli-ahli Jawatankuasa PAC yang terdiri daripada YB Puan Elizabeth Wong Keat Ping (ADN Bukit Lanjan), YB Tuan Saari bin Sungib (ADN Hulu Kelang), YB Tuan Mohd Najwan bin Halimi (ADN Kota Anggerik), YB Tuan Mohd Shaid bin Rosli (ADN Jeram) dan YB Tuan Ronnie Liu Tian Khiew (ADN Sungai Pelek).

Jawatankuasa PAC sepertimana lazimnya di peringkat Parlimen dan Negeri-Negeri adalah berperanan dalam memeriksa dan memantau urusan kewangan negeri dan memastikan ketelusan pengurusan dan pentadbiran kewangan negeri ditadbir secara baik dan sempurna.

Menurut Peraturan Tetap 68(1c) Dewan Negeri Selangor, antara peranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan adalah:        

‘memeriksa Penyata  Juru  Audit  Negara  dibentangkan  dalam  Dewan  menurut  Perkara  107(2)  dalam  Perlembagaan  Persekutuan’

Mesyuarat yang berlangsung lebih kurang dua jam tersebut telah menghalusi penemuan-penemuan audit, status maklumbalas jabatan dan agensi, serta isu-isu berbangkit berhubung pengurusan kewangan jabatan dan agensi di Negeri Selangor.

Mesyuarat selanjutnya akan diadakan pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.