Sesi Pendengaran Awam Berkaitan Penilaian Prestasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Dan Ahli Majlis Di Negeri Selangor Pada 20 Februari 2020

Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) telah memutuskan untuk mengadakan Pendengaran Awam berkaitan Penilaian Prestasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Ahli Majlis di Negeri Selangor pada hari Khamis, 20 Februari 2020 bertempat di Bilik Gerakan, Tingkat 2, Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor.

Keputusan SELCAT mengadakan Pendengaran Awam ini diambil selepas beberapa penelitian, penyiasatan dan perbincangan dilakukan oleh Jawatankuasa ekoran aduan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor berhubung mutu penyampaian perkhidmatan dan kecekapan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Ahli Majlis yang berkhidmat di PBT.

Beberapa siri Pendengaran Tertutup bersama Ahli-Ahli Dewan Negeri dan Ketua-Ketua WHIP Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta perbincangan jawatankuasa untuk meneliti dokumen-dokumen siasatan telah dijalankan bagi memastikan maklumat yang konkrit dan keputusan yang berkesan terhadap isu ini dapat dibuat.

Aspek yang telah diteliti oleh SELCAT mencakupi prestasi kehadiran Ahli Majlis dan pengurusan tertinggi PBT dalam Mesyuarat Penuh dan Mesyuarat Jawatankuasa di kesemua PBT, serta peruntukan yang diberikan kepada Ahli Majlis untuk diteliti.

SELCAT telah bersetuju untuk memilih 3 PBT secara rawak mengikut status perbandaran masing-masing mewakili bandaraya, perbandaran dan daerah. Hasil keputusan bersama, Ahli Jawatankuasa SELCAT bersetuju memilih Majlis Bandaraya Petaling Jaya – MBPJ (status bandaraya), Majlis Perbandaran Subang Jaya – MPSJ (status perbandaran) dan Majlis Daerah Kuala Langat – MDKL (status daerah).

Hasil perbincangan keseluruhan, Jawatankuasa SELCAT berpendapat bahawa adalah wajar dan perlu untuk mengadakan siasatan dan sesi pendengaran awam mengenai isu ini, seterusnya memberi cadangan serta saranan yang membina bagi memperbaiki kelemahan yang timbul di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Ahli Majlis.

Sebagai sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas yang dipertanggungjawabkan untuk meneliti keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan terhadap jabatan dan agensi di bawah Kerajaan Negeri Selangor, SELCAT telah menetapkan saksi-saksi untuk dipanggil memberi keterangan di hadapan Ahli Jawatankuasa SELCAT seperti berikut:

i. Wakil Persatuan Penduduk (7 orang)
ii. Ahli Dewan Negeri (ADN) (3 orang)
iii. Ahli Majlis (3 orang)
iv. Datuk Bandar/Yang Dipertua (3 orang)
v. Exco Kerajaan Negeri Selangor (1 orang)

Sehubungan itu, pihak media dan orang awam dijemput hadir mengikuti perjalanan Sesi Pendengaran Awam SELCAT ini secara langsung di Bilik Gerakan Tingkat 2, Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, Shah Alam atau mengikuti secara Live di saluran TV Selangor dari jam 10 pagi hingga 5 petang, 20 Februari 2020.

Y.B. Tuan Ng Suee Lim
Pengerusi SELCAT
Dewan Negeri Selangor