[Harian Metro] SelVAX siap sedia laksana suntikan ketiga vaksin Covid-19

Shah Alam: Kerajaan negeri menerusi Program Selangor Vaksin (SelVAX) kini dalam persediaan melaksanakan suntikan ketiga (booster shot) sekiranya perlu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, persediaan turut dilakukan untuk penerima vaksin bagi golongan berusia 18 tahun ke bawah.

“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada kelulusan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid (JKJAV),” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata sedemikian bagi menjawab soalan Wong Siew Ki (PH-Balakong) yang bertanya mengenai jumlah baki vaksin Program SelVAX serta perancangan yang akan dilakukan dengan baki vaksin berkenaan.

Dr Siti Mariah berkata, sehingga 22 Ogos lalu, bilangan dos vaksin yang sudah disuntik menerusi SelVAX Komuniti adalah sebanyak 224,880 dos dan baki dos adalah sebanyak 275,120 dos.

“Bagi SelVAX Industri, bilangan dos vaksin yang sudah disuntik (sehingga 22 Ogos) adalah sebanyak 142,719 dos daripada 750,000 dos yang diperuntukkan berdasarkan stok yang sudah dibeli. Justeru, baki dos adalah sebanyak 607,281 dos,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Siti Mariah turut memohon maaf kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bukan kerajaan di Selangor kerana tidak memaklumkan berhubung maklumat terkini khususnya pembatalan operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SelVAX.

“Secara umumnya keseluruhan (program SelVAX) berjalan dengan baik namun saya minta maaf kalau maklumat tidak sampai kepada Adun (bukan kerajaan). Ini kerana kita membuat banyak hebahan di media sosial mengenai lokasi PPV, bila dan sebagainya.

“InsyaAllah, selepas ini saya sendiri akan hantar kepada semua Adun bukan kerajaan. Saya minta maaf sebab kita ada juga kepada penyelaras Adun dan maklumat ini sampai pada mereka,” katanya yang menjawab soalan tambahan Haniza Mohamed Talha (PN-Lembah Jaya) berhubung pembatalan operasi PPV SelVAX yang tidak dimaklumkan kepada Adun bukan kerajaan di Selangor.

Sementara itu, Dr Siti Mariah memaklumkan setakat ini kerajaan negeri sudah memperuntukkan kira-kira RM130 juta untuk pembelian 1.25 juta dos vaksin.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/08/746760/selvax-siap-sedia-laksana-suntikan-ketiga-vaksin-covid-19-metrotv