[Harian Metro] Selangor peruntuk RM55.85 bilion tangani impak Covid-19

DATUK Seri Amirudin Shari. FOTO Faiz Anuar

KERAJAAN Selangor mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin Fasa Ketiga untuk membangunkan semula ekonomi yang mengalami kejutan susulan penularan wabak Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, menerusi pelaksanaan inisiatif bagi fasa ketiga ini, kerajaan negeri akan membangunkan Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor yang menekankan kepada tiga tonggak utama dalam menangani impak Covid-19.

“Tiga tonggak itu membabitkan aspek jaminan bekalan makanan (foodsecurity), kemampanan ekonomi (economic sustainability) dan pembangunan keupayaan (capacity building).

“Jumlah keseluruhan nilai bagi Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor ini adalah berjumlah RM55.85 bilion,” katanya ketika membentangkan pelan berkenaan pada sesi Sidang DUN Selangor, hari ini.

Beliau berkata, struktur ekonomi Selangor pasca Covid-19 akan mengadaptasikan perubahan dan pendekatan baru darisegi sistem dan pelaksanaannya.

Katanya, antara inisiatif yang bakal dilaksanakan adalah Agrodata Selangor, Jaminan Bekalan Makanan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), insentif galakan pembinaan rumah mampu milik (Rumah Selangorku Harapan), Sukuk Kelestarian Air Selangor, inisiatif pelaburan WAAQAF, subsidi baucar pelancongan, insentif khas pemandu pelancong, pengusaha homestay dan hos komuniti.

“Kita juga akan melaksanakan inisiatif Selangor Kerjaya, inisiatif Rakan Digital Selangor, Data Internet selangor serta penambahan peruntukan bagi program Roda Darul Ehsan (RIDE),” katanya.

Amirudin berkata, menerusi pengumuman pelan pemulihan berkenaan, Selangor akan menjadi magnet bagi pekerjaan baharu, meningkatkan taraf hidup rakyat dan mengukuhkan ketahanan ekonomi supaya dapat menghadapi cabaran pada masa hadapan.

Sebelum ini, Selangor mengumumkan pelaksanaan dua Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin bagi membantu rakyat negeri ini yang terkesan dengan penularan pandemik berkenaan.

Beliau berkata, sehingga kini, kerajaan negeri sudah membelanjakan sebanyak RM260 juta yang memberi manfaat kepada 3.5 juta atau 54 peratus rakyat Selangor.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/07/599387/selangor-peruntuk-rm5585-bilion-tangani-impak-covid-19