[Harian Metro] Selangor akan usul tambah kerusi Dewan Undangan Negeri

Shah Alam: Selangor berhasrat mengusulkan penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor berikutan jumlah pengundi di beberapa Dun negeri itu yang kini mencecahkan lebih 100,000 orang.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penambahan kerusi Dun itu akan diusulkan dalam sesi Persidangan Dun Selangor akan datang.

“Kita berharap keseimbangan dapat diwujudkan dalam kalangan jumlah pengundi di kawasan bandar dan luar bandar supaya masing-masing akan dapat perkhidmatan yang seimbang oleh kerajaan.

“Setakat ini (kawasan) yang ada lebih 75,000 pengundi akan menjadi tumpuan dan mungkin kita gabungkan atau jadikan dua atau tiga (kerusi). Ada (kawasan) yang jejak lebih 100,000 dengan paling banyak Dun Kinrara.

“Setakat ini (Dun) ada lebih 70,000 pengundi akan menjadi tumpuan dan mungkin kita gabung, jadikan dua atau tiga (kerusi)..ada Dun yang mencecah lebih 100,000 pengundi, paling ramai (Dun) Kinrara iaitu 118,000 pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penangguhan Persidangan Dun Selangor oleh Speaker Dun Selangor Ng Suee Lim di lobi Dewan Annex SUK sini, hari ini.

Justeru itu, Amirudin berkata, satu taklimat berhubung perkara itu bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 30 Mac ini yang turut membabitkan semua Adun di Selangor.

“Daripada taklimat itu, kita akan dapat maklumat yang lebih lanjut dari SPR.

Satu jawatankuasa bersama SPR dan kerajaan negeri akan lihat cadangan kedua-dua pihak (kerajaan negeri dan SPR).

“Apabila selesai dan dimuktamadkan, kita akan bawa ke sidang DUN Selangor. Kita perlukan dua per tiga majoriti, selepas lulus baru bawa ke Dewan Rakyat (Parlimen),” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan usul pertambahan kerusi Dun itu sebagai persediaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) namun bergantung pada tempoh masa yang diambil bagi proses itu.

“(Tambah kerusi) kena ada persefahaman sebab bukan mudah-mudah boleh tambah kerusi. Proses ini akan mengambil masa sedikit tetapi harapan kita ia dapat dilaksanakan.

“Semua bergantung kepada perbincangan dengan SPR sebab kita hendak meletakkan satu tahap jumlah kerusi yang boleh diterima, mungkin 40,000 hingga 50,000 pengundi (setiap Dun).

“Bukan mudah melakukan perkara itu kerana kita kena juga lihat kesan gaji Adun, elaun, pencen..ini semua akan mendapat pertimbangan sebab itu secara realistik kita boleh buat sekitar dalam tempoh tiga bulan paling awal,” katanya.

Terdahulu, ketika ucapan penangguhan Amirudin menyenaraikan Dun Selangor yang dijangka mengalami perubahan antaranya Batang Kali; Gombak Setia; Teratai; Semenyih; Kajang; Balakong; Sungai Ramal; Seri Serdang; Kinrara, Subang Jaya; Seri Setia; Bukit Lanjan; Kota Damansara; Kota Anggerik; Bandar Baru Klang; Pandamaran; Sentosa; Sungai Kandis; Kota Kemuning; serta Dengkil.

“Seramai 3.66 juta pengundi berdaftar di Selangor pada hari ini dan melihat pertambahan pengundi pada tiga bulan dengan perkadaran pendaftaran automatik seramai lebih 89,000.

“Ini bermakna dalam tempoh 12 bulan dari sekarang, jumlah pengundi di Selangor akan mencecah kira-kira 4.6 juta ataupun ke 5 juta,” katanya.

Sidang Dun Selangor ditangguhkan ke satu masa yang akan dimaklumkan kelak.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/03/823515/selangor-akan-usul-tambah-kerusi-dewan-undangan-negeri