[Harian Metro] Caj, denda jika pemaju gagal bina Rumah SelangorKu

Shah Alam: Caj bayaran baharu atau denda perlu dikenakan terhadap pemaju yang gagal membina Rumah SelangorKu walaupun projek berkenaan sudah mendapat kelulusan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan & Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail berkata terdapat keperluan menguatkuasakan undang-undang berkenaan demi membantu penduduk negeri ini memiliki kediaman masing-masing.

“Ada pemaju dapat kelulusan tapi masih tak bina. Ini memberi kesan kepada bekalan rumah, jadi mungkin kita perlu kenakan caj baharu kepada mereka.

“Saya rasa sudah sampai masa untuk kerajaan negeri meletakkan syarat baharu kerana ada projek rumah yang sudah dapat kelulusan tetapi 10, 20 tahun masih tidak bina. Justeru perlu dikenakan caj untuk mempercepatkan pelaksanaan (pembinaan),” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Imran Tamrin (BN-Sungai Panjang) mengenai rumah mampu milik.

Dalam pada itu, Rodziah memaklumkan bagi tahun ini (sehingga 1 Julai), kerajaan negeri menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan 4,818 unit rumah mampu milik dari 10 projek.

Katanya, kesemua unit berkenaan membabitkan tiga skim bantuan perumahan kerajaan negeri iaitu Rumah Selangorku, Rumah Harapan serta Rumah Idaman.

“Kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan meluluskan beberapa permohonan pihak pemaju (bagi pembinaan perumahan) setiap tiga bulan dan beberapa perkara diteliti sebelum kelulusan diberikan termasuk pembinaan rumah mampu milik.

“Kelulusan ada dua peringkat iaitu di peringkat jawatankuasa yang mana sudah banyak kita luluskan tapi masih perlu diangkat ke peringkat MMKN untuk kelulusan selepas dilihat dalam konteks teknikal,” katanya.

Beliau berkata, tiga program rumah mampu milik itu dilaksanakan Dengkil; Klang; Gombak; Sepang dan Hulu Langat.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/07/865224/caj-denda-jika-pemaju-gagal-bina-rumah-selangorku