D.Y.M.M. Sultan Selangor Berkenan Rasmi Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2021

Shah Alam, 23 Ogos: Dewan Negeri Selangor hari ini selesai menyempurnakan Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2021. Istiadat yang berlangsung secara sederhana ini telah berkenan disempurnakan oleh D.Y.M.M. Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Istiadat yang bermula pada jam 10.00 pagi ini turut dihadiri oleh D.Y.T.M Raja Muda Selangor, Y.A.B. Dato Menteri Besar, Y.B. Tuan Speaker, Y.B. Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor dan beberapa jemputan yang ditetapkan dengan mengambilkira aspek pematuhan terhadap garis panduan kawalan penularan wabak Covid-19.

Titah D.Y.M.M. Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berkisar tentang beberapa aspek pentadbiran kerajaan negeri khususnya aspek menangani wabak Covid-19 dan peruntukan kewangan kerajaan negeri, aspek integriti Penjawat Awam dan Ahli Dewan Negeri (ADN) serta penolakan kepada budaya rasuah, pelaksanaan agenda hijau dengan mewujudkan ekosistem yang terbaik dan moden untuk menarik pelaburan dalam teknologi hijau yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

Di akhir titah, baginda berharap agar sekalian rakyat berbilang kaum dan agama dapat terus hidup di dalam harmoni dan bersatu padu. Baginda merayu kepada semua rakyat tak kira agama apa yang dianuti untuk menghormati agama dan budaya masing-masing.

Titah baginda yang berakhir jam 10.51 pagi itu, kemudiannya diiringi dengan keberangkatan pulang baginda bersama-sama D.Y.T.M. Raja Muda Selangor, dengan diiringi oleh Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor, Y.B. Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMKN), Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri dan Ex-Officio Kerajaan Negeri di hadapan bangunan Dewan Negeri Selangor.