[Bernama] PJD Link: Laporan pemaju akan diteliti sebelum kelulusan tanah diberikan – MB Selangor

 
Shah Alam, 27 Julai (Bernama): Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dimaklumkan hari ini bahawa laporan pemaju akan diteliti secara menyeluruh sebelum kelulusan tanah diberikan bagi pembinaan projek Petaling Jaya Dispersal Elevated Highway (PJD Link) dilaksanakan.
 
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata sekiranya penilaian meliputi pelbagai aspek itu telah dilaksanakan, pihak pemaju sekali lagi perlu membuat pendengaran awam sebelum kelulusan tanah diberikan.
Beliau berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan yang menjadi syarat kepada pihak pemaju seperti dalam perjanjian konsesi yang ditandatangani pada 5 April lepas.
 
“Mereka (pemaju projek PJD Link) janji untuk mengatasi kesemua komen serta bantahan penduduk ketika projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) ditawarkan. KIDEX kita dah tolak, jadi mereka kata PJD Link akan memperbaiki semua (segala isu berbangkit berhubung KIDEX).
 
“Sebagai kerajaan yang adil, kita dengar. Setakat ini pihak kerajaan tidak dengar lagi apakah pembaikan itu. Kalau pemaju tak dapat perbaiki semua, penjelasan tidak memuaskan hati, kerajaan negeri tidak ada masalah untuk tidak benarkan (projek PJD Link) dibangunkan semula,” katanya.
 
Amirudin berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ronnie Liu Tian Khiew (PH-Sungai Pelek) yang ingin tahu pendirian kerajaan negeri berhubung projek PJD Link.
 
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Izham Hashim memaklumkan perjanjian konsesi yang telah ditandatangani antara pihak PJD Link dengan kerajaan Persekutuan pada 5 April lepas telahmeletakkan syarat duluan.
 
Katanya syarat tersebut ialah pihak syarikat perlu melaksanakan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Penilaian Impak Trafik (TIA) terlebih dahulu sebelumperjanjian ini menjadi efektif dan projek tersebut dimulakan.
 
Menurutnya cadangan PJD Link ini masih belum boleh dimuktamadkan di peringkat negeri kerana sehingga kini masih tiada kajian EIA, SIA dan TIA dilaksanakan oleh PJD Link, dan ia perludibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) serta disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) termasuk penyelesaian perihal tanah. – BERNAMA