[Berita Harian] Selangor guna 98 kolam, tasik dan bekas lombong hadapi kemarau 2025

Shah Alam: Sebanyak 98 kolam, tasik dan bekas lombong di Selangor akan digunakan bagi membantu negeri ini menangani keperluan sumber bekalan air tambahan dalam menghadapi kemarau, mulai 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim, berkata ia membabitkan 20 bekas lombong sudah diwartakan melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) serta 78 kolam tambahan baharu yang dikenal pasti.

“Daripada keseluruhan jumlah itu, kerajaan negeri telah meluluskan 21 kolam dipilih untuk naik taraf dalam Skim Jaminan Air Mentah (SJAM).

“Kolam-kolam dipilih itu dijangka mampu menyediakan bekalan air tambahan dengan ketahanan selama dua bulan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) mengenai pelan tindakan kerajaan negeri untuk menghadapi kemarau berpanjangan mulai 2025.

Menjelaskan lanjut, Izham berkata, kolam terbabit akan naik taraf dengan infrastruktur tambahan yang mana kapasiti 14 juta meter padu ketika ini dijangka meningkat kepada 21 juta meter padu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sebanyak 127 kolam takungan banjir bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang sedia ada turut dinilai semula.

“Ini bagi melihat sama ada ia boleh bertindak secara dwifungsi, iaitu sebagai kolam takungan banjir dan sumber air alternatif ketika musim kemarau,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/11/1030285/selangor-guna-98-kolam-tasik-dan-bekas-lombong-hadapi-kemarau-2025