[Astro Awani] Banjir: RM100 juta diperuntuk untuk pulihkan Selangor – MB

Shah Alam: Kerajaan Selangor memperuntukkan RM100 juta menerusi usaha Selangor Bangkit bagi proses pemulihan negeri itu daripada musibah banjir yang melanda ketika ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata peruntukan tersebut meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia akibat banjir serta bantuan RM1,000 setiap keluarga yang terkesan bencana banjir.
Beliau berkata peruntukan itu turut merangkumi bantuan pembersihan kawasan perumahan serta pemulihan infrastruktur yang mengalami kerosakan serta bantuan kesihatan.
 
“Kerajaan negeri akan mempermudah prosedur permohonan pemberian bantuan kepada keluarga yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mengelak karenah birokrasi,” katanya dalam sidang media di sini semalam.
Beliau berkata kerajaan negeri turut bersetuju untuk memberi pelepasan bil air selama sebulan kepada akaun-akaun yang terkesan dengan bencana banjir.
 
“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk mengumumkan penangguhan bayaran balik pinjaman selama dua bulan kepada semua usahawan HIJRAH Selangor yang terkesan akibat banjir dengan implikasi kewangan berjumlah RM15 juta,” katanya.
 
Amirudin berkata pada waktu ini, keutamaan kerajaan negeri adalah menyelamatkan nyawa, menghulurkan bantuan kepada mangsa di PPS dan membersihkan kawasan perumahan mangsa supaya mereka boleh mula kembali ke rumah.
Beliau berkata KDEB Waste Management akan menggerakkan lori pungutan sampah, jentera pengorek serta trak pihak-pihak berkuasa tempatan yang tidak terjejas ke kawasan yang memerlukan pungutan sisa-sisa dan sampah sarap secepat mungkin.
 
“Setelah proses ini selesai, fokus seterusnya akan bertumpu kepada analisis skala kerosakan infrastruktur, pemulihan infrastruktur termasuk pengukuhan sistem tebatan banjir terutamanya kawasan-kawasan berisiko tinggi,” Katanya. 
-Bernama