Pelancaran Sesi Pertama Program ADUN Muda Selangor Tahun 2014

KENYATAAN MEDIA: PELANCARAN SESI PERTAMA PROGRAM ADUN MUDA SELANGOR TAHUN 2014

 

22 JULAI 2014

Program ADUN Muda Selangor akan dianjurkan buat kali kedua untuk penggal ini oleh Pejabat Speaker Dewan Negeri Selangor. Tahun ini, program ADUN Muda akan dijalankan sebanyak dua kali iaitu pada bulan Ogos dan Disember. Pejabat Speaker dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam akan menganjurkan sesi pertama program ADUN Muda pada 25 – 27 Ogos 2014.

Program ADUN Muda Selangor merupakan satu program khas bagi mahasiswa dan mahasiswi kelahiran Selangor dan yang sedang belajar di institusi pengajian tinggi di sekitar Selangor. Tujuan program ini adalah untuk memberi pendedahan politik di peringkat awal kepada anak-anak muda agar lebih berminat untuk melibatkan diri dalam proses penggubalan undang-undang khususnya untuk menjadi bakal penggubal undang-undang sama ada di peringkat tempatan mahupun kebangsaan. Mereka akan diberi peluang untuk mengalami prosiding sebenar sebagai ahli-ahli Dewan Negeri (ADUN) dalam satu sidang Dewan Negeri dan mencadangkan serta membahaskan usul-usul khususnya yang memberi impak kepada golongan anak muda. Persidangan tersebut nanti akan dipengerusikan oleh YB Hannah Yeoh dan YB Nik Nazmi Nik Ahmad selaku Tuan Speaker dan Tuan Timbalan Speaker.

Melalui program ini, mahasiswa dan mahasiswi digalakkan untuk meningkatkan pemikiran kritis tentang polisi-polisi kerajaan. Mereka juga akan mengenali para ADUN Selangor dengan lebih dekat lalu merapatkan jurang di antara anak muda dan wakil rakyat agar bakal pelapis pimpinan negeri lebih memahami peranan penting dan tanggungjawab seorang ADUN.

Program ADUN Muda Selangor 2013 telah berjaya diperkenalkan buat pertama kali di Dewan Negeri Selangor pada tahun lepas, 16 – 18 Disember 2013 anjuran Pejabat Speaker dengan kerjasama Pejabat Dewan Negeri Selangor. Seramai 30 peserta telah dipilih daripada 265 pemohon dari seluruh Selangor dan juga negeri-negeri lain. Semua peserta yang terlibat telah memberi maklumbalas positif tentang keberkesanan program ini. Malah, ada juga di kalangan mereka yang ingin menyertai program ADUN Muda Selangor buat kali kedua. Walau bagaimanapun, hasrat penganjur adalah untuk memberi pendedahan kepada seramai mungkin anak-anak muda Selangor. Oleh yang demikian, peserta hanya dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam program ini untuk sekali sahaja.

Sesi pertama Program ADUN Muda Selangor 2014 akan diadakan selama 3 hari di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. Ia dibuka kepada pelajar-pelajar dalam lingkungan umur 18 – 24 tahun daripada institusi-institusi pengajian tinggi awam, swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO), penggerak belia tempatan (PeBT) serta persatuan-persatuan mahasiswa. Seramai 56 orang anak muda akan dipilih untuk menyertai program ini dan mewakili setiap kawasan DUN di dalam Dewan Negeri Selangor.

Tempoh permohonan akan dibuka selama 3 minggu mulai 22 Julai 2014 sehingga 11 Ogos 2014. Pemohon-pemohon yang berminat untuk menyertai program ini dikehendaki membuat permohonan secara online di laman web www.adunmudaselangor.com sebelum 12 Ogos 2014. Panel pemilihan akan terdiri daripada YB Hannah Yeoh, YB Nik Nazmi Nik Ahmad dan YB Dr. Ahmad Yunus Hairi. Keputusan pemilihan akan diumumkan di laman web rasmi www.adunmudaselangor.com pada 15 Ogos 2014.

Program ADUN Muda Selangor dilancarkan oleh Tuan Speaker, YB Hannah Yeoh dan Tuan Timbalan Speaker, YB Nik Nazmi Nik Ahmad pada 22 Julai 2014 (Selasa) di Pejabat Speaker, Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada jam 10.00 pagi.

PEJABAT SPEAKER DEWAN NEGERI SELANGOR
22 JULAI 2014