Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

341) ENAKMEN

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Dr. Afif Bin Bahardin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan kerajaan negeri Selangor bagi mengatasi isu pencemaran air yang memberi kesan kepada sumber bekalan air bersih? Apakah kerajaan negeri berhasrat untuk menggubal atau meminda Enakmen negeri bagi mengatasi masalah ini?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melaksanakan dua belas (12) tindakan-tindakan berikut bagi mengatasi isu pencemaran merangkumi;

    • menjalankan rondaan 24 jam melalui Skuad PANTAS LUAS bagi memastikan tindakan-tindakan pemuliharaan kualiti sumber air dan penguatkuasaan ke atas pihak yang menyebabkan aktiviti pencemaran dapat diambil;
    • menjalankan tinjauan sungai-sungai di Negeri Selangor melalui Unit Penguatkuasaan LUAS bagi mengenal pasti aktiviti-aktiviti dalam 50 meter rizab sungai yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air;
    • menjalankan Kajian Inventori Guna Tanah Di Rizab Sungai bagi sungai-sungai yang berisiko sebagai langkah pencegahan dan kawalan aktiviti-aktiviti di rizab sungai bagi tindakan pemantauan dan penguatkuasaan bersepadu;
    • melaksanakan pemasangan stesen telemetri kualiti air di hulu muka sauk sebagai sistem amaran awal/ early warning system bagi meminimumkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA);
    • pemantauan berkala ke atas kawasan-kawasan yang telah diisytiharkan sebagai zon perlindungan di bawah seksyen 48 Enakmen LUAS 1999 seperti kawasan empangan dan kolam-kolam sumber air alternatif;
    • melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara penyitaan di bawah Seksyen 99A sehingga seksyen 99F Enakmen LUAS 1999 ke atas harta benda yang mempunyai perkaitan dengan kesalahan;

     

    • mengambil tindakan penguatkuasaan secara pengkompaunan atau pendakwaan secara terus bagi kesalahan-kesalahan berkaitan pencemaran sumber air tanpa lesen/kebenaran daripada Pengarah LUAS;

     

    • kolaborasi bersama agensi-agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri seperti PDRM, SPAN, JAS, pentadbir tanah & daerah, pihak-pihak berkuasa tempatan dan pihak berkepentingan iaitu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dalam mengesan suspek-suspek yang disyaki menyebabkan pencemaran air.
    • melaksanakan blok pemantauan kualiti air ataupun dikenali sebagai River Monitoring Program (RMP) di sepanjang rizab sungai utama Negeri Selangor dan juga anak-anak sungai yang berisiko. Pemantauan ini berdasarkan Kajian Pemetaan Dan Inventori Aktiviti Guna Tanah Di Rizab Sungai Sembah dan Anak – Anak  Sungainya, Sungai Klang, Sungai Damansara, Sungai Semenyih, Sungai Rinching dan Sungai Beranang bagi Fasa 1 pada tahun 2017 dan seterusnya Fasa 2 bagi Sungai Buloh, Sungai Langat dan Sungai Selangor pada tahun 2021. Objektif pelaksanaan pemantauan blok ini adalah seperti berikut:

     

    1. Memastikan kualiti air sungai berada dalam keadaan yang baik dan terpelihara;
    2. Menentukan outfall aliran ke sungai untuk tujuan verifikasi kualiti air pelepasan aliran dari outfall; dan
    3. Menyelaraskan cadangan kawalan kepada kualiti air bagi pelepasan aliran dari outfall yang melibatkan aktiviti dari kawasan pembangunan, komersial, industri dan persekitarannya untuk diambil tindakan lanjut dengan kerjasama agensi berkaitan selaras bidang kuasa;
    • mempergiatkan usaha dan memperkasakan penglibatan agensi, komuniti, NGO dan pihak berkepentingan dalam aktiviti pemuliharaan sungai-sungai di Negeri Selangor. Antara program yang telah dilaksanakan adalah penubuhan Sahabat Sungai atau dikenali Friends of River, FoR  di mana program ini meliputi seluruh kawasan sungai di Negeri Selangor yang menggalakkan penglibatan komuniti setempat memelihara dan memulihara sungai/ sumber air di kawasan masing-masing.
    • melaksanakan Polisi Pelepasan Sifar (Zero Discharge Policy-ZDP) dan (Polluters Pay Principle-PPP) melalui pengenalan peraturan baharu Peraturan-Peraturan Pelesenan Pembuangan Air Kembalian, dan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Buangan dan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2024 (Peraturan ZDP) yang dijangka akan berkuat kuasa pada suku kedua tahun 2024. Peraturan ZDP ini adalah penambahbaikan kepada peraturan sedia ada iaitu penambahan aktiviti yang memasukkan bahan buangan dan bahan pencemar di samping penambahan elemen baharu iaitu pelesenan dan pengenaan caj pembuangan air kembalian. Di samping itu pengenaan deposit dan sekuriti sehingga RM 100,000 bagi pematuhan kepada syarat-syarat dan sekatan-sekatan di dalam Peraturan ZDP menjadikan pemegang-pemegang lesen mematuhi syarat-syarat dan sekatan-sekatan lesen supaya deposit dan sekuriti yang dikenakan tidak dilucuthakkan.
    • pemantauan dan penguatkuasaan berterusan bagi isu-isu pencemaran melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan iaitu:

     

    1. Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh YB EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam;
    2. Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Selangor yang dipengerusikan oleh Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); dan
    3. Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh YB EXCO Alam Sekitar.

     

    Selanjutnya, Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS juga telah lebih awal meminda undang-undang bagi mengenakan tindakan atau hukuman berat kepada pesalah jenayah alam sekitar seperti pencemaran sumber air dengan meminda Enakmen LUAS 1999 pada tahun 2020 seperti berikut:

     

    • menetapkan hukuman yang lebih berat iaitu :
    1. menjadikan hukuman penjara sebagai hukuman mandatori;
    2. menaikkan hukuman denda daripada maksimum satu ratus ribu ringgit kepada denda minimum dua ratus ribu ringgit dan maksimum sehingga satu juta ringgit bagi kesalahan mencemarkan sumber air tanpa lesen di bawah seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999;

     

    • memasukkan hukuman tambahan di bawah subseksyen 79(5) iaitu mana-mana orang yang disabitkan dengan kesalahan hendaklah membayar semua perbelanjaan yang dilakukan oleh LUAS untuk membaiki atau memulihkan apa-apa pencemaran yang disebabkan oleh kesalahan di bawah seksyen 79 tersebut; dan

     

    • Memasukkan pencemaran bau sebagai salah satu elemen pencemaran di bawah seksyen 79(1)(a), Enakmen LUAS 1999.

Lampiran

Tiada Lampiran.